suria

Pemandu Lori Parah Di Tembak Di Bayan Lepas

GEORGE TOWN: Seorang pemandu lori yang mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah cedera parah ditembak dari jarak dekat di Mukim 12, Sungai Tiram, Bayan Lepas dekat sini malam Ahad.


Jurucakap polis berkata, kejadian pukul 11.20 malam di perkarangan rumah lelaki berusia 27 tahun itu berlaku ketika dia berada di dalam lorinya untuk keluar bekerja.

"Tembakan itu mengenai bahu kiri lelaki berkenaan. Dia kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan keadaannya dilapor stabil," katanya di sini, Isnin.

Beliau berkata, lelaki yang cedera ditembak itu kemudiannya berlari ke dalam rumah dan memaklumkan perkara itu kepada adik iparnya.

Polis menemui sebutir peluru 9mm jenis luger berhampiran bahagian tayar hadapan lori mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Siti Nor Salawati Saad ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori itu tidak mengenali lelaki yang menembaknya.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian itu mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan.

"Berdasarkan rekod, mangsa juga mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah," katanya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


pemandu lori, ditembak, Bayan Lepas

Artikel Lain