suria

Penjawat Awam Stres, JPA Sedia Khidmat Psikologi

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal mengakui penjawat awam berhadapan dengan tekanan kerja dalam usaha menghasilkan mutu sistem penyampaian terbaik kepada rakyat.


Berikutan itu, beliau berkata, tekanan yang dihadapi penjawat awam ini diatasi dengan menggunakan khidmat psikologi yang disediakan di semua jabatan kerajaan.

"Stigma yang mengatakan perkhidmatan psikologi hanya untuk golongan bermasalah harus diubah kerana ia mempunyai peranan lebih menyeluruh dalam pembangunan modal insan.

“Perkhidmatan psikologi bukan sahaja berupaya memulihkan masalah kehidupan tetapi mampu membangunkan kualiti dan keperibadian penjawat awam,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Terbuka Psikologi 2014 di Dewan Sri Siantan, di sini pada Khamis.

Justeru, beliau menyarankan agar pengurusan sumber manusia di semua jabatan kerajaan dapat mengoptimumkan perkhidmatan psikologi dalam pengurusan mereka.

“Dalam abad ke-21 ini, cabaran oraganisasi semakin kritikal. Tuntutan kepada inovasi, pencapaian dan keupayaan daya saing memerlukan pekerja yang dapat memberi sumbangan terbaik serta mampu mendepani sebarang masalah.

“Strategi utama yang perlu dilakukan ialah mengubah minda dan memenangi jiwa penjawat awam. Kedua ialah dengan melakukan transformasi sikap bagi membentuk sistem kepercayaan dan corak pemikiran positif,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi JPA, Dr Abdul Halim Mohd Hussin berkata, terdapat 497 pegawai psikologi di bawah jabatan itu.

“Berdasarkan kajian, masalah yang dihadapi penjawat awam ialah masalah peribadi, tekanan kerja, masalah kewangan. Namun apa yang kita kesalkan masih ramai yang enggan tampil berjumpa dengan pegawai psikologi kerana malu untuk meluahkan masalah mereka,” katanya.

Beliau berkata pihak kerajaan ada perancangan untuk menambah jumlah pegawai psikologi di jabatan kerajaan kerana pada ketika ini nisbahnya ialah (1 pegawai psikologi : 3000 pesakit) termasuk ahli keluarga penjawat awam.

"Pada masa ini tumpuan yang diberikan ialah memberikan khidmat nasihat, latihan serta kursus pengurusan emosi dalam membentuk kesihatan mental yang baik dikalangan penjawat awam," ujarnya. 



JPA, khidmat psikologi, tekanan kerja

Artikel Lain