suria

Abu Sayyaf Ancam Penggal Kepala, Tebusan Jerman Rayu Pembebasan Segera

- Gambar hiasan
ZAMBOANGA CITY: Dua warga Jerman yang dijadikan tebusan oleh kumpulan Abu Sayyaf di Sulu telah merayu kepada kerajaan Jerman dan Filipina untuk 'melakukan apa saja' bagi memastikan mereka dapat dibebaskan dengan selamat.

"Saya berharap mereka melakukan apa sahaja yang boleh dilakukan untuk melepaskan kami secepat mungkin kerana kami di sini semakin hari benar-benar semakin teruk," kata Henrite Dielen, isteri kepada tebusan, Dr Stefan Viktor Okonek, dalam satu temu bual telefon yang disiarkan secara langsung di Zamboanga pada Sabtu.

Dielen berkata masalah kesihatan suaminya semakin serius.

"Terdapat banyak nyamuk dan saya cuba untuk menjaganya. Dia banyak tidur dan saya cuba melindunginya dan memanaskannya dan itu adalah apa yang mampu saya lakukan," kata Dielen.

Okonek, yang juga telah diberi peluang untuk bercakap dalam temu bual itu, berkata dia datang ke Filipina untuk bercuti, "tetapi rancangan bertukar kepada apa yang saya alami sekarang."

"Saya mohon kepada kerajaan, rakyat Filipina untuk berusaha keras untuk membebaskan saya," katanya.

"Saya tidak mempunyai apa-apa ubat dan situasi saya tidak bertambah baik daripada sebelumnya. Saya amat lemah dan saya dipenjarakan dan saya tidak boleh melakukan apa yang mereka suka saya lakukan, "katanya.

Okonek dan Dielen hilang di Palawan pada bulan April.

Abu Sayyaf pada 17 Oktober berkata kepala Okonek akan dipenggal jika tuntutan mereka untuk mendapatkan wang tebusan P250-juta, pengunduran tentera AS di Syria dan Iraq dan panggilan kepada kerajaan Filipina untuk menyokong gabungan global ISIS, tidak dipenuhi.

Abu Rami, yang mendakwa menjadi jurucakap pemimpin Abu Sayyaf Radulan Sahiron, enggan membenarkan kedua-dua warga Jerman untuk ditemuramah oleh Philippine Daily Inquirer, sebaliknya menuntut "liputan secara langsung supaya dunia akan mendengar kata-kata kita dan rayuan kedua-dua warga Jerman."

Rami, dalam temubual telefon, berkata "tidak ada, sama ada dari kerajaan Filipina atau Jerman berkomunikasi dengan kami atau dengan kedua-dua warga Jerman itu."

"Jika kerajaan Filipina ingin mengekalkan imej yang baik di mata dunia, adalah lebih baik berurusan dengan kami atau tindakan akan diambil untuk membuatkan kerajaan malu," kata Rami.

Leftenan Kolonel Harold Cabunoc, jurucakap Angkatan Tentera Filipina, memberitahu Inquirer melalui telefon bahawa mereka mengambil ancaman dan nyawa 12 tebusan, termasuk lima warga asing, yang diculik oleh kumpulan-kumpulan bersenjata di Mindanao, sebagai serius.

Turut ditahan sebagai tebusan adalah dua rakyat Malaysia Konstabel Zakiah Aliep, 26, dan penternak ikan dari Sabah Chan Sai Chiun, 32, oleh puak yang berbeza daripada Abu Sayyaf yang diketuai oleh Al-Habsi.

Artikel Lain