suria

Festival Arak Tidak Pernah Diluluskan - Exco Selangor

Zaidy
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor tidak pernah meluluskan penganjuran festival arak "Oktoberfest" di negeri itu, kata anggota exco kerajaan negeri Zaidy Abdul Talib Selasa. 

Penganjuran itu dilihat sebagai tidak memahami sensitiviti masyarakat beragama Islam, kata beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Selangor. 

"Tiada apa-apa kelulusan diberikan berkaitan dengan program ini, ia boleh digambarkan sebagai mencetus dan mencabar keharmonian yang sentiasa diterap dalam kerajaan Pakatan Rakyat Selangor," katanya dalam satu kenyataan di sini. 

Anggota exco bagi Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani Negeri itu berkata pihaknya telah meminta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan tegas kepada pihak yang bertanggungjawab menaikkan papan iklan festival itu. 

Pada Isnin, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar melahirkan rasa kecewa apabila papan iklan festival itu dipasang di sekitar Shah Alam. 

Festival arak itu telah bermula sejak 24 September lepas, di beberapa lokasi termasuk di Saujana Hotel Subang dan Berjaya Time Square Hotel. 

Kemuncak pesta tersebut akan diadakan pada 10 hingga 12 Oktober ini di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya.

Artikel Lain