suria

Prasarana Pasang CCTV Dalam Semua Bas Rapid Penang

Zulkifli Mohd Yusoff
GEORGE TOWN: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), pengendali perkhidmatan bas Rapid Penang, akan mempercepatkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dalam semua kenderaan berkenaan sebagai langkah meningkatkan keselamatan pemandu serta penumpang. 

Pengarah Kumpulan Divisyen Kumpulan Prasaran yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Zulkifli Mohd Yusoff berkata setakat ini 110 daripada 330 buah bas Rapid Penang telah dipasang CCTV manakala selebihnya pada tahun depan. 

"Bagaimana pun ia (pemasangan) akan dipercepatkan mungkin pada hujung tahun ini atau Januari depan," katanya kepada pemberita selepas melawat pemandu bas Rapid Penang yang cedera parah ditikam, di Hospital Pulau Pinang, di sini Selasa. 

Dalam kejadian pukul 7 pagi semalam, pemandu bas berkenaan Aisyamudin Yaacob, 26, yang sedang memandu mengalami cedera parah di paha kanan akibat ditikam beberapa kali. 
 
Zulkifli berkata berikutan kejadian berkenaan, pihaknya akan bekerjasama dengan Kesatuan Sekerja Rapid Bus untuk mengkaji langkah-langkah bagi mempertingkatkan keselamatan pemandu bas. 

"Kami memang tidak sangka ia akan berlaku kerana kejadian itu pertama kali berlaku sejak 10 tahun perkhidmatan bas Rapid Penang di Pulau Pinang dan ia merupakan kes terpencil," katanya. 

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan menanggung perbelanjaan keluarga Aisyamudin yang merupakan anak keenam daripada sembilan beradik itu termasuk menyediakan sebuah inap desa berdekatan dengan HPP bagi memudahkan mereka menjaga mangsa. 

Katanya beliau juga telah berjumpa dengan ibu dan anggota keluarga Aisyamudin dan memberi jaminan kepada mereka bahawa Prasarana akan membantu keluarga berkenaan sepanjang mangsa menerima rawatan. 

"Mangsa yang masih bujang dan berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu telah menjalani pembedahan petang semalam dan doktor yang merawatnya memaklumkan Aisyamudin masih dalam pemerhatian berikutan keadaannya yang belum sedar lagi," katanya. 

Zulkifli berkata Aisyamudin menyertai perkhidmatan Rapid Penang kira-kira dua bulan lepas selepas tamat mengikuti skim latihan kapten Rapid Bus Sdn Bhd. 

"Dalam kejadian itu, Aisyamudin yang sedang memandu bas Rapid Penang dari Pengkalan Weld ke Balik Pulau ditikam wanita berkenaan selepas dia enggan memberhentikan penumpang tersebut di tempat yang diingininya. 

"Aisyamudin tidak menurunkan wanita berkenaan berikutan kawasan tersebut kurang selamat dan bukan tempat perhentian, dia menurunkan penumpang itu di tempat perhentian yang berdekatan sebelum ditikam di bahagian kakinya," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

Artikel Lain