suria

Siasatan Kes Rasuah 14 Pegawai Kastam Selesai - SPRM

Mohd Shukri Abdull

KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes membabitkan 14 pegawai kanan Jabatan Kastam termasuk Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Mohd Isa Endot selesai selepas kesemua mereka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull bagaimanapun berkata, siasatan tersebut akan diteruskan sekiranya terdapat penemuan baharu.

"Selepas kita dakwa mereka tempoh hari, semua (siasatan) selesai. Daripada siasatan yang terakhir, kalau ada penemuan terbaharu, kita tengok macam mana nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Raja Di Hati Rakyat sempena Ulang Tahun Penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR) / Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke-47 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur di sini, Rabu.

Majlis turut dicemar duli dengan kehadiran Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah. Turut serta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Kesemua pegawai kanan Jabatan Kastam itu didakwa atas 49 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM73,600, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan penyeludupan arak di antara November 2011 dan Ogos tahun ini.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masing-masing.

Ditanya berapa lama siasatan kes berkenaan dilakukan, Mohd Shukri menjawab, ia mengambil masa setahun.

"Kita lakukannya dalam tempoh setahun. Semalam, saya dah beritahu kepada semua pegawai untuk tutup operasi (siasatan). Kalau ada pun (nanti), saya akan maklumkannya kemudian," katanya.

Ditanya adakah SPRM akan turut menumpukan agensi kerajaan lain, Mohd Shukri hanya berkata: "Setakat ini, kita fokuskan kepada yang ini dahulu kerana kita fokuskan ketirisan."

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan jaminan antara RM5,000 dan RM25,000 berserta seorang penjamin serta diperintah menyerahkan pasport dan dokumen perjalanan yang lain kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Oktober ini.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang tinggi.

SPRM, Kastam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain