suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kerajaan Nepal tolak bantuan SAR negara luar, serik tragedi gempa bumi 2015... Hanya mahu sumbangan kewangan

Kerajaan Nepal bimbang bantuan SAR yang hadir berubah menjadi masalah koordinasi seperti tahun 2015. -Reuters

KERAJAAN Nepal menolak tawaran beberapa negara untuk menghantar pasukan mencari dan menyelamat (SAR) meskipun 517 warga asing termasuk 51 rakyat Malaysia masih hilang susulan banjir Bhotekoshi pada 26 Ogos lalu.

Tidak hanya itu, barisan pentadbiran mereka turut berpandangan agensi keselamatannya masih berupaya mengendalikan operasi tersebut tanpa bantuan pasukan asing.

Walau bagaimanapun, mereka mengalu-alukan sumbangan berbentuk wang menerusi mekanisme satu saluran, manakala bantuan kewangan dan sokongan lain akan dipohon ketika proses pembinaan semula dilaksanakan kelak.

Seorang pegawai kanan Kementerian Luar Nepal berkata, pihaknya menerima beberapa permohonan secara rasmi dan tidak rasmi daripada negara serta organisasi yang mahu menghantar pasukan SAR masing-masing.

Antara negara yang menawarkan bantuan berkenaan ialah India, China, AS, Britain, Jepun, Korea Selatan, Sri Lanka dan Bangladesh.

Bagaimanapun, semua permohonan itu ditolak selepas kerajaan Nepal memberi jaminan bahawa operasi berkenaan mampu dilaksanakan oleh agensi keselamatan tempatan.

Keputusan tersebut dibuat berdasarkan saranan Tentera Nepal dan pihak polis.

Ia turut mengambil kira pengalaman Nepal ketika dilanda gempa bumi pada 2015 apabila kemasukan banyak pasukan SAR asing serta persaingan antara negara menimbulkan masalah besar dari segi koordinasi dan pengurusan.

Mengulas lanjut, bagi membantu warga asing yang terjejas, Kementerian Luar Nepal menubuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) sebagai badan penyelaras utama.

ERT bertanggungjawab memudahkan urusan pencarian dan penyelamatan, pengesahan maklumat serta bantuan konsular berkaitan warga asing yang terjejas atau hilang akibat bencana itu.

Kementerian berkenaan turut menghantar seorang pegawai ke pusat operasi khas di Timure, Rasuwa bagi menyelaras maklumat dengan pasukan keselamatan di lapangan.

Jurucakap Kementerian Luar Nepal, Lok Bahadur Poudel Chettri berkata, sebarang maklumat yang diperoleh akan disalurkan terus kepada kementerian susulan banyak pertanyaan diterima daripada ahli keluarga mangsa.

Menurutnya, keluarga warga asing boleh menyalurkan atau mendapatkan maklumat menerusi talian hotline dan e-mel khas yang disediakan.

Pihak berkuasa Nepal turut berkongsi maklumat mengenai warga asing yang masih hilang.

Kesemuanya terdiri daripada 178 rakyat India, 65 Amerika Syarikat (AS), 53 Ukraine, 51 Malaysia, 35 Australia, 33 Britain, 25 Kanada dan sembilan Singapura.

Selain negara yang disenaraikan, warga dari kira-kira 36 negara lain turut dilaporkan hilang. -The Kathmandu Post/ANN

Artikel Lain