HILANG selepas dicuri kira-kira dua bulan lalu, siapa sangka sebuah kereta akhirnya ditemui semula dalam keadaan jauh berbeza apabila ia sudah diubah suai menjadi ambulans.Kejadian luar biasa itu terbongkar susulan kejayaan polis menumpaskan kegiatan sekumpulan suspek yang dipercayai terbabit dalam rangkaian kecurian kenderaan merentas negeri di India. Menurut laporan Daijiworld, kereta jenis Maruti Omni berkenaan dilaporkan dicuri di Maadnoor Kaavu, Puttur, Karnataka antara 19 dan 20 Jun lalu.Susulan kejadian, satu kes didaftarkan di Balai Polis Puttur Rural mengikut Seksyen 303(2) Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS).Siasatan kemudian membawa pasukan polis menjejaki beberapa petunjuk sehingga ke Kerala dan Tamil Nadu sebelum empat suspek berjaya diberkas dalam operasi yang berakhir Rabu lalu.Mereka dikenal pasti sebagai Abdul Sayil J, 25; Mohammed Aseef, 25; dan Mohammed Siraj, 28, yang berasal dari Kasaragod, Kerala serta Shaktivelu G, 24, dari Karur, Tamil Nadu.Berdasarkan laporan, polis mendapati kereta yang dicuri itu dipercayai terlebih dahulu dibawa ke Kerala sebelum dipindahkan ke Tamil Nadu untuk dijual.Kenderaan berkenaan kemudiannya dipercayai diubah suai menjadi sebuah ambulans di Tamil Nadu.Walau bagaimanapun tidak dinyatakan tujuan sebenar kenderaan tersebut ditukar menjadi ambulans atau sama ada ia pernah digunakan untuk membawa pesakit.Dalam operasi berkenaan, polis berjaya mendapatkan semula Maruti Omni terbabit yang dianggarkan bernilai 250,000 rupee (kira-kira RM10,500).Turut dirampas sebuah motosikal KTM bernilai kira-kira 100,000 rupee (RM4,220) yang dipercayai digunakan ketika melakukan kegiatan jenayah tersebut. -Agensi