suria

PAS Pusat Tentukan Nasib Saari, Hasnul

KUALA LUMPUR: Nasib dua Ahli Dewan Undangan (Adun) PAS yang menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor akan ditentukan Jawatankuasa PAS Pusat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali berkata, kedua-dua Adun berkenaan, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) telah dipanggil memberi penjelasan berhubung isu itu dan pimpinan PAS Pusat akan membuat keputusan mengenai status mereka.

"Mereka telah dipanggil secara formal untuk memberi penjelasan hari ini (Isnin).

"Saya sudah dengar penjelasan setiap seorang daripada mereka dan ia akan dimaklumkan kepada PAS Pusat yang akan bertindak membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan dua Adun tersebut di Ibu Pejabat PAS Pusat di sini, Isnin.

Menurut Mustapa, PAS Pusat juga akan memutuskan sama ada Saari dan Hasnul akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti atau sebaliknya.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan tersebut, beliau berkata ia diadakan secara berasingan.

"Jumpa seorang-seorang...seorang ambil masa kira-kira sejam," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan isi kandungan penjelasan yang diberikan dan tidak mahu menyatakan sama ada beliau berpuas hati atau tidak dengan penjelasan yang telah diberi.

Mustapa berkata, kelewatan mengambil tindakan terhadap Saari dan Hasnul adalah disebabkan parti ingin menyelesaikan isu satu persatu.

"Kita selesai satu-satu. Isu menteri besar di Selangor sudah selesai, PRK Pengkalan Kubor sudah selesai, sekarang isu ini pula," katanya.

Status dua Adun PAS ini dalam parti masih lagi menjadi tanda tanya apabila tiada sebarang tindakan atau amaran dikenakan terhadap tindakan mereka yang dianggap membelakangkan parti dalam isu pelantikan menteri besar di Selangor.

Kedua-dua Adun berkenaan menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Dr Wan Azizah sebagai menteri besar di Selangor, satu tindakan yang bertentangan dengan pendirian parti.

Terdahulu, Saari yang ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Mustapa berkata beliau masih ahli PAS dan akan menjadi ahli PAS sehingga ajal.


Artikel Sebelum

Bandar Kajang Dilanda Banjir

Artikel Lain