suria

Peniaga Naikkan Harga Sebelum CBP Disifatkan Pensabotaj Negara

KLUANG: Golongan peniaga yang bertindak menaikkan harga barangan sebelum Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dikuatkuasa tahun depan, disifatkan sebagai pensabotaj ekonomi negara, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.


Beliau mengingatkan bahawa kerajaan sentiasa memantau kegiatan mereka dan tindakan undang-undang akan dikenakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Mereka ini ialah pensabotaj ekonomi negara. Jangan ingat kerajaan tidak tahu tindakan mereka itu, kita mengetahuinya dan memantaunya sebelum mengambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar tentang CBP di Institut Tadbiran Awam Wilayah Selatan, Isnin.

Katanya, CBP merupakan sistem percukaian yang baik untuk Malaysia dan ia telah dilaksanakan dengan jayanya di 160 buah negara seluruh dunia.

Ahmad berkata, tidak semua barangan akan mengalami kenaikan harga selepas pelaksanaan CBP, malah sebahagian barangan dijangka mengalami penurunan harga manakala sebahagian lagi tidak akan menghadapi sebarang perubahan harga.

"Indeks Harga Pengguna (CPI) dijangka secara purata akan naik 1.48 peratus selepas pengenalan CBP, bagaimanapun ia hanya untuk sementara waktu sebelum indeks itu kembali stabil," katanya.

Ditanya sama ada petrol dan diesel turut dikenakan CBP, Timbalan Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan masih mengkaji mengenainya dan akan mengumumkannya kepada orang ramai kelak.

"Kita masih mengkajinya dan akan membuat keputusan yang terbaik," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad berkata, pengenalan CBP bakal memberikan kesan yang positif kepada pertumbuhan ekonomi negara, selain meningkatkan eksport serta merangsang industri pelancongan negara dan meningkatkan kadar kutipan cukai bagi tujuan pembangunan negara.

Beliau juga mahu seminar penerangan mengenai CBP seperti yang diadakan pada hari ini, diperluaskan lagi meliputi semua peringkat masyarakat bagi membolehkan mereka mendapat maklumat yang tepat tentang sistem percukaian itu.


Datuk Ahmad Maslan, CBP, pensabotaj

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain