suria

MB Baharu: 'Style' Berbeza, Matlamat Sama - Mustapa

Sultan Selangor menyerahkan surat perlantikan sebagai Menteri Besar Selangor kepada Azmin, Selasa.

PENGKALAN KUBOR: PAS yakin Menteri Besar Selangor yang baharu, Mohamed Azmin Ali mampu melaksanakan tugas seperti yang diharapkan Pakatan Rakyat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali berkata dalam mentadbir Selangor, Azmin mempunyai caranya tersendiri tetapi matlamatnya dalam memberikan khidmat kepada rakyat adalah sama.

"Saya yakin menteri besar baharu akan melaksanakan tugasnya sebaik mungkin. Cuma mungkin 'style' (gaya) masing-masinglah, 'style' mungkin berbeza.

"Bagaimanapun dari segi matlamat, tetap (sama) memberikan khidmat kepada rakyat dan pentadbiran berjalan secara licin menjadi komitmen ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat," katanya pada sidang media Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor, di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah memberikan beberapa amanat termasuklah supaya menteri besar yang baharu meneruskan pemberian dividen kepada rakyat di Selangor.

"Biasalah 'outgoing' (akan pergi) akan beri beberapa peringatan kepada 'incoming' (akan datang)," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, secara keseluruhannya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Selangor menerima keputusan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melantik Azmin menggantikan Khalid.

Katanya, PAS Pusat jugalah yang meletakkan nama Azmin sebagai salah seorang daripada tiga nama calon yang diberikan kepada istana untuk dipertimbangkan.

"Ini saya lihat tidak akan jadi masalah.

"Siapa saja, apa saja yang diperkenankan oleh Tuanku, dalam PAS tak bangkit apa-apa," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, PAS secara prinsip mengalukan-alukan dan akur dengan keputusan yang dibuat oleh Sultan Selangor.

Bagaimanapun katanya, kenyataan rasmi mengenai pelantikan akan dikeluarkan oleh Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.Sambil mengucapkan tahniah kepada Azmin, beliau juga berharap agar amanah besar itu dapat digunakan untuk terus memacu ekonomi Selangor dan memastikan rakyat Selangor akan terus dikurniakan limpahan nikmat.

PKR, PAS, Datuk Mustapa Ali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

'Kastam' Maut Ditembak, Rakan Parah

Artikel Lain