suria

Siasat Kes UPSR Bocor Hingga Lubang Cacing - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi
TUMPAT: Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan polis akan menyiasat isu kebocoran soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sehingga ke 'lubang cacing' dan mengheret mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu kebocoran UPSR itu adalah membabitkan soal integriti dan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam soal berkenaan.

"Saya bagi tahu kita tidak akan lindung mana-mana pegawai kanan atau guru besar atau guru atau mana-mana lagi yang terlibat dalam isu kebocoran kertas UPSR ini.

"Kita tidak boleh berkompromi kerana ini soal integriti dan polis akan siasat sampai ke 'lubang cacing' untuk mengheret mereka yang bertanggungjawab," katanya selepas menghadiri kenduri kampung bersama masyarakat di Kampung Kajang Sebidang di sini, malam Isnin.

Sebelum ini soalan peperiksaan UPSR bagi mata pelajaran Sains 018, 028 dan 038 dan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatal dan ditangguhkan kerana berlaku kebocoran itu.

Lembaga Peperiksaan Malaysia telah menetapkan 30 Sept sebagai tarikh baharu peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran itu.

Dua hari lepas polis menerima laporan mengenai kebocoran dua lagi kertas peperiksaan UPSR iaitu kertas Bahasa Tamil dan Matematik.

Pada Isnin, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata tarikh baharu bagi ujian Mathematics 015/1, 025/1, 035/1 dan Bahasa Tamil 036, 037 adalah pada 9 Oktoner setelah mengambil kira cuti umum Aidiladha dan aspek logistik seperti percetakan dan pengedaran.

Mengulas perkara itu lagi Ahmad Zahid menyifatkan mereka yang terbabit dalam isu kebocoran itu sebagai 'gunting dalam lipatan' dan 'harapkan pagar, pagar makan padi' yang tidak boleh dimaafkan.

"Ini kes jenayah kerana ini adalah pecah amanah dan polis akan lihat jika ada aspek kesalahan jenayah yang lain lagi," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno ketika mengulas isu politik di Selangor turut merakamkan penghargaan kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang disifatkan banyak jasanya kepada rakyat negeri itu.

"Kami (Umno) menghargai Tan Sri Khalid yang telah mentadbir Selangor dengan baik selama enam tahun," katanya.

"Saya fikir ini bukan sekarang dan kami mengalu-alukan Tan Sri Abdul Khalid sebagai ahli Parlimen Bebas dan berharap ia mesra kepada Barisan Nasional," katanya, katanya ketika menyentuh sama ada Abdul Khalid akan dipelawa menyertai Umno.

Isnin adalah hari terakhir buat Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang akan diambil alih Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Mohamed Azmin Ali.

Majlis mengangkat sumpah menteri besar Selangor yang baharu itu akan diadakan di Istana Alam Shah, Klang pagi Selasa.


UPSR, Kementerian Dalam Negeri

Artikel Sebelum

'Kastam' Maut Ditembak, Rakan Parah

Artikel Berikut

Artikel Lain