suria

Exco PAS Selangor Bukan Pengkhianat Tapi Benteng Pakatan Rakyat

Empat Exco PAS Selangor terlibat bersama Khalid ketika krisis Menteri Besar Selangor memuncak bulan lalu.
KLANG: Empat Exco kerajaan Selangor mewakili PAS bukan pengkhianat seperti didakwa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebaliknya mereka 'benteng terakhir' Pakatan Rakyat di negeri itu.


Exco PAS Selangor, Sallehen Mukhyi yang membidas dakwaan itu berkata, Guan Eng tidak memahami undang-undang tubuh kerajaan negeri yang mana empat Exco boleh menjalankan tugas sementara menteri besar baharu dilantik.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabak berkata, walaupun bukan majoriti tetapi kerajaan boleh bergerak buat sementara waktu.

"Jadi kalau semua Exco PAS meletak jawatan maka menteri besar sebelum ini (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) boleh melantik Adun lain, yang sudah tentulah dari Umno.

"Kita ini adalah benteng terakhir buat Pakatan Rakyat," katanya kepada pemberita di Istana Alam Shah di sini Selasa selepas majlis angkat sumpah Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Pada Isnin, Guan Eng mengumumkan bahawa DAP menyokong penuh pelantikan Azmin sebagai menteri besar yang baharu dan menghormati pendirian Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menarik diri daripada pencalonan.

Beliau bagaimanapun menyifatkan empat Exco PAS sebagai pengkhianat kerana gagal menunjukkan kesetiaan bersama enam Exco pakatan lain yang dipecat Khalid.

Sementara itu, Exco PAS, Iskandar Abdul Samad berkata, pilihan raya negeri mungkin akan berlaku sekiranya empat Exco dari parti itu meletak jawatan, sekali gus akan menjejaskan Pakatan Rakyat di Selangor.

Adun Chempaka ini berkata, empat Exco parti itu terus mempertahankan dasar dan prinsip Pakatan Rakyat di dalam kerajaan negeri di bawah pentadbiran Khalid.

"Empat Exco ini telah menyelamatkan Pakatan Rakyat di Selangor. Lim Guan Eng sepatutnya membawa semangat baharu untuk maju dan bukan memandang ke belakang," katanya.

Seorang lagi Exco PAS, Dr Ahmad Yunus Hairi pula berkata, kepentingan rakyat perlu dijaga dan baki Exco yang ada perlu menjadi benteng kepada Pakatan Rakyat ketika itu.

"Keputusan ini bukan keputusan individu tetapi telah diperbincangkan dalam parti untuk mempertahankan kerajaan pakatan. Soal pengkhianat, itu terpulang kepada beliau," katanya yang merupakan Adun Sijangkang.

Empat Exco PAS terbabit selain Iskandar, Dr Ahmad Yunus dan Sallehen adalah Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali.


PAS, Exco Selangor, Lim Guan Eng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain