suria

Indeks Berkaitan Rasuah, Salah Guna Kuasa Bertambah Baik - SPRM

KANGAR: Indeks berkaitan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan penjawat awam bertambah baik walaupun kes rasuah Jabatan Kastam dan kebocoran kertas peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) mencalarkan imej perkhidmatan awam.

Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohammad Yusoff Akope berkata indeks tersebut pada satu ketika mencatat 4.5, meningkat kepada 5, tahun lepas.

"Indeks 5 adalah zon tidak membimbangkan namun kita berusaha meningkatkannya kepada 6 (zon baik) menjelang tahun depan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) di sini, Selasa.

Di majlis itu, pengurus semua 11 anak syarikat PKENPs termasuk pengurus besarnya, Kassim Zakaria menandatangani CIP disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Pengangkutan dan Pembangunan Wilayah, Datuk Sabry Ahmad.

Mohammad Yusoff berkata CIP adalah antara usaha SPRM membantu pihak-pihak berkepentingan termasuk swasta dan masyarakat peniaga untuk meningkatkan integriti, tadbir urus yang cekap dan mengatasi rasuah serta salah guna kuasa. 

CIP yang diperkenalkan pada 2011 mula mendapat sambutan tahun lepas dan kini 448 agensi telah menandatanganinya termasuk 119 syarikat berkaitan kerajaan (GLC), jabatan/agensi kerajaan (51) syarikat sendirian berhad (36), syarikat multi-nasional (21), badan bukan kerajaan (NGO)(17) manakala selebihnya industri kecil dan sederhana, katanya.

Mohammad Yusoff berkata SPRM telah melantik Universiti Tun Abdul Razak untuk membuat kajian terhadap agensi utama berhubung keberkesanan pelaksanaan CIP di organisasi terbabit termasuk Petronas.

"Kita dapati banyak isu rasuah digembar-gemburkan menyebabkan persepsi negatif terhadap perkhidmatan awam timbul namun SPRM mengambil pendekatan untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku dalam agensi-agensi terbabit. Pelaksanaan CIP adalah antara tindakan yang membantu," tambahnya. 

Bagaimanapun, Mohammad Yusoff berkata agensi-agensi kerajaan masih perlu melakukan banyak perkara untuk meningkatkan tadbir urus dan integriti kakitangannya.

"SPRM mahu seluruh masyarakat digerakkan dalam menangani isu rasuah supaya agensi ini tidak dilihat cuma menguatkuasakan undang-undang tanpa mempedulikan aspek pencegahan. 

"Syarikat-syarikat yang melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) pula perlu melaksanakannya atas dasar tanggungjawab bukan mengandungi unsur-unsur dengan niat mendapat projek kelak," katanya.

Mohammad Yusoff berkata SPRM memantau perkembangan yang berlaku dalam agensi-agensi atau syarikat yang menandatangani CIP bagi memastikan ia dilaksanakan.

Sementara itu, Sabry menyambut baik usaha PKENPs menandatangani CIP yang diyakininya mampu membantu meningkatkan operasi serta mengelak ketirisan sehingga menggagalkan perancangan kerajaan membangunkan negeri.

"Saya yakin pelabur akan lebih yakin untuk datang melabur di Perlis jika masalah rasuah ditangani dengan tegas dan setiap pegawai mempunyai integriti yang tinggi," katanya.

Artikel Lain