suria

Laluan Merah, Biru Bas GO KL Ditambah Baik Mulai 1 Oktober

Bas bandar GO KL.
KUALA LUMPUR: Mulai 1 Oktober ini, perkhidmatan bas bandar GO KL bagi Laluan Merah dan Laluan Biru akan ditambah baik untuk meningkatkan kadar penggunaan ke tahap optimum.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Selasa, penambahbaikan itu merangkumi perubahan lokasi mula dan akhir laluan, tambahan perkhidmatan ke destinasi tumpuan ramai dan pemberhentian perkhidmatan ke destinasi yang kurang mendapat sambutan pengguna Go KL.

Ia akan menyaksikan kedua-dua laluan bermula dan berakhir di Terminal Bas Jalan Tun Razak yang mempunyai integrasi perkhidmatan pengangkutan awam lain seperti Monorel, LRT laluan Ampang dan bas ekspres.

Menurut SPAD, empat hentian baharu akan diperkenalkan bagi Laluan Merah (Terminal Bas Jalan Tun Razak-KL Sentral) iaitu Terminal Bas Jalan Tun Razak, Hospital Damai, Chow Kit (Jalan Ipoh) dan Hotel Grand Seasons.

Dua hentian sedia ada iaitu di Wisma Sime Darby dan Maju Junction tidak akan lagi beroperasi dan sebagai alternatif, pengguna boleh mendapatkan perkhidmatan di Puteri Park Hotel dan Kompleks Pertama.

Bagi Laluan Biru (Terminal Bas Jalan Tun Razak-Bukit Bintang), 10 hentian baharu diperkenalkan iaitu Terminal Bas Jalan Tun Razak, Hospital Kuala Lumpur, Institut Penyelidikan Perubatan, Masjid Kampung Baru, Sekolah Khas Kampung Baru, Bukit Nanas, LRT Dang Wangi, Puteri Park Hotel, Chow Kit dan Hotel Grand Seasons.

Tujuh hentian sedia ada akan dihentikan operasi iaitu di Menara Uni Asia, Monorel Medan Tunku, Kompleks Campbell, Maju Junction, Wisma MPL, The Weld dan Sogo.

Sebagai alternatif, pengguna hentian berkenaan boleh mendapatkan perkhidmatan di Medan Mara, Hotel Concorde, Wisma Boustead dan Menara Hap Seng.
Bas GO KL, SPAD

Artikel Lain