suria

Perjanjian Air Selangor Akan Dikaji Semula - Azmin

KLANG: Semua perjanjian yang dimeterai ketika pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan dikaji semula, termasuk penstrukturan air di negeri itu, kata Mohamed Azmin Ali.


Menteri Besar Selangor yang baharu itu berkata, semua perjanjian itu akan dibincangkan dengan pihak berkaitan.


"Tidak semestinya hanya perjanjian air sahaja tetapi adalah adil buat saya untuk mendapatkan penerangan yang lengkap daripada kerajaan negeri sebelum membuat sebarang keputusan," katanya pada sidang media selepas majlis angkat sumpah bagi jawatan itu di Istana Alam Shah di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perjanjian peringkat akhir penstrukturan air Selangor dengan kerajaan Persekutuan yang ditandatangani Khalid awal bulan ini. Ketika itu, Khalid dianggap sebagai 'menteri besar sementara' selepas dipecat oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Azmin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa berkata, beliau akan meneruskan dasar sebelum ini demi kepentingan rakyat.

Tambahnya, beliau terlibat secara langsung ketika pentadbiran Khalid dan meletakkannya sebagai asas yang baik dalam pentadbirannya selepas ini.

"Sudah tentulah tanggungjawab saya untuk meneruskan dasar demi rakyat yang memberikan penekanan kepada soal pentadbiran yang adil dan memastikan kerajaan negeri ini benar-benar bersih dan bertanggungjawab menjaga rakyat Selangor," katanya.

Azmin Ali, air, Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain