suria

MB Baharu: PKR Janji Beri Kenyataan Positif

Kepemimpinan PKR bergambar bersama Azmin (dua dari kanan) selepas mesyuarat tergempar parti itu, petang Isnin.
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengeluarkan kenyataan pada pukul 8 malam Isnin berhubung isu perlantikan Menteri Besar Selangor yang baharu.


Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti akan mengeluarkan kenyataan yang positif.

"Kita akan mengeluarkan kenyataan pada pukul 8 malam. Mereka sedang siapkan kenyataan.

"Bagus, kenyataan yang positif," katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat PKR di sini, malam Isnin.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat tergempar yang berlangsung selama hampir dua jam.

Turut hadir Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali turut mengakui kenyataan yang akan dikeluarkan itu nanti adalah positif.

Beliau bagaimanapun tidak menjawab ketika ditanya untuk mengesahkan mengenai pelantikannya sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

"Tunggu kenyataan pukul 8 malam nanti. Kenyataan yang positif," jawab Azmin ringkas.

Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Bukit Antarabangsa sah dilantik sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Azmin menerima surat pelantikan yang ditandatangani Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.



Artikel Berikut

Artikel Lain