suria

PAS Kutuk Poster Ceramah Palsu PasMa

Mohd Zaki menunjukkan poster ceramah palsu yang didakwa dilakukan musuh politik PAS.
PENGKALAN KUBOR: PAS mengutuk poster ceramah kononnya anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang digunakan sebagai bahan kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor.


Timbalan Pengarah Jawatankuasa Operasi PRK Pengkalan Kubor, Mohd Zaki Ibrahim berkata, PAS tidak pernah menjemput PasMa atau mana-mana anggotanya mengadakan program atau ceramah di kawasan pilihan raya itu.

"Hari-hari terakhir kempen, poster yang berniat jahat terhadap PAS cuba memberi satu gambaran tidak baik kepada PAS dan pimpinan PAS.

"Kita dapati dalam kawasan pilihan raya 'banner' sengaja dilekatkan oleh pihak tertentu untuk memburukkan pimpinan parti yang disebut sebagai ceramah perdana PasMa," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Menurut Mohd Zaki, setakat ini dua 'banner' telah dikesan oleh pemantau PAS dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah bertindak menurunkan kedua-duanya.

Salah satu daripada 'banner' tersebut diletakkan di luar kawasan pilihan raya iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Baru.

Katanya, selain 'banner' berniat jahat tersebut, terdapat juga mesej yang disebarkan melalui aplikasi WatsApp kononnya PAS menawarkan program mengisi minyak percuma kepada penduduk di sini.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelaboran itu berkata, beliau percaya perbuatan ini dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang digelar sebagai 'musuh politik' PAS.

Katanya, tindakan menyebarkan bahan kempen berniat jahat itu juga menunjukkan pihak lawan sudah terdesak ketika saat-saat akhir berkempen.

PasMa ditubuhkan disebabkan sikap dan pendirian PAS yang tidak jelas ketika berhadapan krisis berpanjangan berhubung isu Menteri Besar Selangor.

Dipelopori pemimpin dan ahli PAS, Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi menegaskan tidak berhasrat untuk mengubah haluan PasMa menjadi  parti politik.

PasMa, ceramah, Pengkalan Kubor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain