suria

Tiada Campur Tangan Politik Dalam Pentadbiran Khalid - SUK

Abdul Khalid bersalaman dengan kakitangannya pada Sambutan Perpisahan Menteri Besar Ke-14 di Bangunan Kerajaan Negeri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Isnin. 
-fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata sepanjang empat tahun beliau berkhidmat dengan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tiada sebarang campur tangan politik dalam urusan pentadbiran di negeri ini. 

Beliau berkata Abdul Khalid, yang menjadi Menteri Besar dua penggal berturut-turut sejak Mac 2008, memberi kepercayaan penuh kepadanya untuk melaksanakan segala dasar membabitkan negeri dan rakyat. 

"Kita dalam barisan pentabiran negeri tidak pernah menghadapi sebarang tekanan sewaktu Abdul Khalid berkhidmat dan bebas membuat keputusan mengikut dasar yang telahpun dipersetujui," katanya ketika berucap di majlis perpisahan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor di Bangunan SUK, Isnin.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani mengesahkan Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali menerima surat pelantikan sebagai Menteri Besar Selangor baharu menggantikan Abdul Khalid. 

Majlis mengangkat sumpah Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), akan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang pukul 10 pagi Selasa.

Mohammed Khusrin juga berkata antara pencapaian terbesar Abdul Khalid dalam pentadbirannya ialah mengembalikan hak air kepada rakyat Selangor dengan menstruktur semula industri air di negeri ini. 

Dalam pada itu, sumber dari pejabat Menteri Besar Selangor berkata Abdul Khalid tidak akan menghadiri majlis angkat sumpah menteri besar baharu pada Selasa sebab akan ke luar negara untuk bercuti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain