suria

Najib Tiba Di New York Untuk Hadiri Perhimpunan Agung PBB

Najib disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mah Siew Keong (tengah) dan Datuk Seri Abdul Wahid Omar (kanan) ketika tiba di hotel penginapan di New York. Foto BERNAMA

NEW YORK: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini, Sabtu (Ahad di Malaysia) bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Pesawat khas yang membawa Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di Lapangan Terbang Westchester County di sini, pada 7.30 malam (7.30 pagi Ahad di Malaysia).

Mereka disambut Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Wakil Tetap Malaysia di PBB, Datuk Hussein Haniff.

Najib dijadual menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung bertempat di ibu pejabat PBB di sini, pada 26 September.

Beliau diundang oleh Akademi Sains New York sebagai seorang daripada penceramah utama pada majlis pelancaran antarabangsa Global STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) Alliance, di sini, pada 22 September.

Artikel Lain