suria

Kawalan Imigresen Diperketat Ekoran Laporan Pejuang Uighur Transit Di M'sia

Pasukan khas anti pengganas Densus 88 membawa bukti-bukti dari rumah yang disewakan oleh seorang suspek pengganas yang ditahan dalam serbuan. Foto AFP

PETALING JAYA: Kawalan di semua kaunter pemeriksaan imigresen di Malaysia diperketatkan berikutan laporan The Jakarta Post mengenai pejuang Uighur di China yang dikaitkan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) transit ke Malaysia sebelum ditahan di Indonesia.

Timbalan Ketua Pegarah Jabatan Imigresen (Kawalan), Datuk Sakib Kusmi berkata, jabatan itu mendapati bukan semua dari etnik Uighur itu adalah pelarian tulen.

"Kita akan mempertingkatkan pemeriksaan ke atas orang-orang ini yang memasuki Malaysia. Kita juga perlu menyiasat sama ada keempat-empat mereka telah memasuki Malaysia menggunakan pasport palsu.

"Kita akan bekerjasama dengan negara-negara lain bagi membanteras sindiket pasport palsu," katanya pada Rabu.

Sumber mendedahkan bahawa empat pejuang Uighur dari China boleh dikaitkan dengan Gerakan Islam Timur Turkmenistan.

"Ada antara mereka bukan pelarian tulen. Sekumpulan kecil mereka mempunyai kaitan dengan Gerakan Islam Timur Turkmenistan," tambah sumber itu.

Sumber itu turut berkata, ia bukan pertama kali pejuang Uighur menggunakan Malaysia sebagai transit sebelum pergi ke negara-negara lain.

The Jakarta Post pada Selasa melaporkan bahawa pihak berkuasa Indonesia mengesan keempat-empat individu itu didakwa menggunakan pasport palsu yang dibeli di Thailand dan terbang ke Kuala Lumpur sebelum pergi ke Bandung di Jawa Barat.

Kesemua mereka menaiki penerbangan lain ke Makassar, Selatan Sulawesi, di mana tiga anggota militan warga Indonesia mengambil mereka dan dibawa ke Poso.

Laporan itu berkata, pasukan khas anti pengganas Densus 88 menahan tujuh suspek pengganas, termasuk empat individu yang didakwa dari wilayah Xinjiang di China, di Poso pada hujung minggu lalu.

Laporan itu berkata, warga asing yang didakwa merancang untuk menyertai kumpulan pengganas di Sulawesi, yang terdiri daripada beberapa kumpulan dan individu, termasuk ulama radikal Indonesia, Abu Bakar Ba’asyir dikatakan menyuarakan sokongan mereka dan mendapatkan dana untuk IS.

Dianggarkan seramai 100 warga Indonesia dipercayai berjuang di bawah panji IS di Syria dan Iraq.

Uighur, IS

Artikel Lain