Kematian seorang lelaki menjadi tanda tanya selepas keluarga mengesan kecederaan luar biasa pada jenazahnya. -Gambar hiasan
RAHSIA di sebalik kematian mencurigakan seorang bapa akhirnya terbongkar selepas polis menahan anak kandungnya sendiri yang berusia 19 tahun kerana disyaki menjadi dalang kes pembunuhan berkenaan.Hal itu terbongkar selepas keluarga mengesan kecederaan luar biasa pada jasad mangsa ketika proses memandikannya sebelum pengebumian. Ketua Unit Siasatan Jenayah Balai Polis Bogor, Anggi Eko Prasetyo mengesahkan, kejadian menyayat hati itu berlaku di Gunung Sindur, Bogor, Indonesia.Mangsa berusia 60 tahun itu sudah dikebumikan di tanah perkuburan awam Desa Jampang, Gunung Sindur pada 26 Ogos lalu.Tiga hari kemudian, keluarganya membuat laporan polis di Balai Polis Gunung Sindur selepas mengesyaki terdapat unsur jenayah.Susulan laporan itu, pihak polis bertindak menggali semula kubur mangsa bagi menjalankan proses bedah siasat secara menyeluruh.Hasil pemeriksaan mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia akibat perbuatan jenayah.Siasatan lanjut membawa kepada penahanan anak mangsa pada Isnin lalu yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.Menurut Anggi, suspek dipercayai bertengkar dengan bapanya di bilik air rumah mereka sebelum kedua-duanya saling mencekik. Suspek turut didakwa memukul kepala mangsa sehingga terjatuh dan meninggal dunia.Sementara itu, motif pembunuhan kejam itu dipercayai berpunca daripada perasaan berang suspek selepas ditegur bapanya kerana kerap pulang lewat malam dan enggan berehat apabila diminta.Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan. -Agensi