suria

Polis Cari Saksi Insiden Kanak-Kanak M'sia Maut Tercampak Permainan Berpusing

Permainan Airmaxx 360 di taman tema Royal Adelaide Show.

SYDNEY: Polis sedang mencari saksi insiden seorang kanak-kanak perempuan warganegara Malaysia yang maut akibat tercampak ketika sedang menaiki sebuah permainan, Airmaxx 360 di Royal Adelaide Show di Adelaide, Australia pada Jumaat lalu.

Menurut laporan Sydney Morning Herald pada Rabu, penyiasat polis sedang mencari saksi bagi kejadian itu.

Laporan itu menyatakan bahawa polis mahu mendengar daripada sesiapa yang mempunyai gambar atau rakaman video mengenai permainan itu ketika beroperasi atau mereka yang mempunyai pengalaman aneh ketika menaikinya.

"Malah butiran kecil juga menjadi maklumat penting yang membawa kepada pemahaman jelas berhubung kejadian," lapor Sydney Morning Herald yang memetik Ketua Inspektor, Selena Dinning sebagai berkata.

Sydney Morning Herald berkata, polis menyediakan laporan untuk koroner dan telah bercakap dengan 30 sehingga 40 orang sejak Jumaat lalu.

Turut memetik Dinning sebagai berkata bahawa masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada pengendali operasi permainan itu akan didakwa.

Dilaporkan, Adelena yang setinggi 120 sentimeter memenuhi syarat ketinggian untuk menaiki permainan itu.

Sydney Morning Herald berkata, permainan itu merupakan tarikan baharu di Royal Adelaide Show pada tahun ini, dan agensi kesihatan dan keselamatan SafeWork SA telah mengarahkannya ditutup daripada digunakan orang awam.

Airmaxx 360, Royal Adelaide Show

Artikel Lain