suria

249 Pengarah Syarikat Dilarang Keluar Negara - KWSP

KUALA LUMPUR: Sebanyak 249 nama pengarah syarikat diserah kepada Jabatan Imigresen bagi menghalang mereka meninggalkan negara ini sebelum menyelesaikan tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

KWSP dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata senarai itu adalah untuk tempoh suku kedua tahun ini.

Ketua Hal Ehwal Korporatnya Nik Affendi Jaafar berkata KWSP tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap majikan dan pengarah syarikat yang gagal membayar caruman bulanan KWSP pekerja mereka.

Bagi suku kedua, 114 majikan dikenakan denda berjumlah RM162,200 oleh mahkamah menurut Seksyen 43(2) Akta KWSP 1991.

Bagi tempoh sama juga 270 saman sivil difailkan di mahkamah terhadap pengarah syarikat manakala 843 kes jenayah difailkan terhadap majikan yang tidak membayar caruman bulanan KWSP.

Antara majikan yang didenda ialah Jimat Padu Enterprise dari Sarawak yang dikenakan amaun paling tinggi sebanyak RM6,000.

Kok Ann Construction Works (M) Sdn Bhd (Selangor) didenda RM5,300; Konsultant Timur (Sarawak) serta dua syarikat berpangkalan di Pulau Pinang Kleasound Sdn Bhd dan Bright Formula (M) Sdn Bhd (masing-masing RM5,000); dan LD Technologies (M) Sdn Bhd (Kedah) didenda RM4,000.

Nik Affendi berkata majikan yang tidak mencarum biasanya dibenarkan oleh mahkamah untuk menjelaskan tunggakan caruman secara ansuran sehingga enam bulan.

"Dalam tempoh ini, KWSP akan memantau mereka bagi memastikan jumlah tunggakan dibayar sepenuhnya.

"KWSP akan mengkreditkan tunggakan caruman ke dalam akaun pencarum terbabit setelah semua tunggakan dibayar," katanya. 


KWSP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain