suria

PAS Akui Kerajaan Pusat Laksana Pelbagai Pembangunan

TUMPAT: PAS Kelantan tidak menafikan memang wujud pelbagai pembangunan dilaksanakan kerajaan persekutuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.

Timbalan Setiausaha Agung PAS Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata sebagai rakan rapat kepada Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, beliau memang memberi penghormatan kepada usaha dilakukan Noor Zahidi semasa menjadi wakil rakyat DUN itu selama tiga penggal.

"Apa pun yang dibuat oleh pihak kerajaan persekutuan di Pengkalan Kubor kita ucapkan terima kasih," katanya dalam sidang akhbar di sini, Rabu.

Wan Abdul Rahim yang juga Pengarah Operasi PAS Pilihan Raya Kecil (PRK) DU NPengkalan Kubor, berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu pembangunan oleh kerajaan persekutuan selama ini yang dipandang remeh oleh PAS.

Beliau berkata PAS sedar sejak DUN Pengkalan Kubor mula diambil alih daripada parti itu oleh BN pada pilihan raya umum (PRU) 2004, baru terdapat pembangunan dan kemajuan di kawasan itu.

"Pembangunan kawasan Pengkalan Kubor hanya boleh dinikmati penduduk selepas BN mula merampas kedudukan PAS di situ iaitu ketika Allahyarham Noor Zahidi menjadi Adun kawasan itu," katanya.

Wan Abdul Rahim mengakui pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan projek menaik taraf jalan kasban iaitu jalan yang dibina berdekatan tebing Sungai Golok di sini untuk tebatan banjir, antara projek yang banyak memberi manfaat kepada penduduk setempat.

PRK itu diadakan ekoran kematian penyandangnya Allahyarham Noor Zahidi pada 20 Ogos lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 Sept ini sebagai hari mengundi.

PRK itu membabitkan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pada PRU13 tahun lepas, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.


PAS, Pengkalan Kubor, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain