suria

UPSR Bocor: Senarai Anggota Jawatankuasa Bebas Diumum Rabu Ini

Idris Jusoh.
PUTRAJAYA: Senarai anggota jawatankuasa bebas untuk menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) penyediaan kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diumum Rabu ini. 

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat khas hampir tiga jam yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kementerian Pendidikan pada Isnin.

"Ia akan dianggotai sembilan anggota jawatankuasa dan (bilangannya) mungkin berubah. Jawatankuasa khas tersebut akan memberi input penambahbaikan SOP yang perlu dilakukan.

"Nama-Nama itu akan diumumkan, (termasuk) siapa yang akan menjadi pengerusi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas itu.

Menyentuh isu yang dibincang dalam mesyuarat khas itu, Idris berkata antaranya ialah kaedah memperhalusi SOP baharu dan perkara yang perlu dilaksana oleh Kementerian Pendidikan.

Beliau turut menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan berhubung kes kebocoran kertas soalan UPSR.

"Siasatan sedang berjalan. Kita serah kepada polis untuk menentukan siapakah yang bertanggungjawab.

"Timbalan Perdana Menteri amat dukacita mengenai insiden ini dan sekali lagi memohon maaf kepada ibu bapa dan guru-guru yang terlibat kerana menyebabkan banyak program tergendala. Kita berharap perkara ini tidak berlaku lagi," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin selaku Menteri Pendidikan, mempengerusikan mesyuarat khas yang dihadiri pengurusan tertinggi termasuk Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap dan P. Kamalanathan, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Kedua Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan) Datuk Misrah Ibrahim, yang menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Pengarah Lembaga Peperiksaan.

Rabu lepas, Lembaga Peperiksaan Malaysia mengumumkan peperiksaan UPSR bagi mata pelajaran Sains 018, 028, 038 yang dijadualkan pada Khamis ditangguh berikutan kebocoran kertas soalan.

Keesokannya, Idris berkata kertas soalan UPSR mata pelajaran Bahasa Inggeris 1 dan 2 juga bocor dan pelajar perlu menduduki semula peperiksaan itu.

Lembaga Peperiksaan Malaysia kemudian mengumumkan 30 Sept ini sebagai tarikh baharu bagi kedua-dua subjek.

Jumaat lepas, Muhyiddin mengumumkan penggantungan tugas serta-merta Pengarah Lembaga Peperiksaan Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu, Dr Wan Ilias Wan Salleh, sehingga siasatan berkaitan kebocoran kertas peperiksaan UPSR 2014 selesai.

Sementara itu, polis pada Isnin memperoleh perintah mahkamah untuk menahan reman empat lelaki termasuk seorang guru besar dan dua guru bagi membantu siasatan berhubung kebocoran soalan peperiksaan UPSR. 

Artikel Lain