suria

Sindiket Edar Syabu Warga Iran Tumpas

Polis Selangor berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu di negeri ini dengan penangkapan tiga warga Iran pada Ahad. - fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Polis Selangor menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu di negeri ini dengan penangkapan tiga warga Iran dan penemuan tempat pembungkusan dadah pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata dadah disyaki syabu seberat 10.5 kg bernilai kira-kira RM1 juta juga dirampas.

Kesemua suspek yang berumur 24 hingga 38 tahun ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di Cyberjaya, katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata:"Suspek pertama ditahan atas maklumat orang ramai di sebuah kafe di Cyber Valley pada kira-kira pukul 1 tengahari oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sepang dan bersamanya dijumpai satu bungkusan beg plastik yang mengandungi dadah disyaki syabu seberat 2.015 kilogram.

Hasil siasatan ke atas suspek pertama, pasukan berkenaan telah dibawa ke sebuah unit pangsapuri yang tidak berpenghuni di Neo Cyber, Cyberjaya yang dipercayai dijadikan tempat pembungkusan dadah, kata Abdul Rahim.

"Polis menemui antaranya dadah berbentuk serbuk dan kristal disyaki syabu seberat 8.505 kg, 200 ml cecair yang juga disyaki syabu serta beberapa peralatan membungkus dadah di sebuah bilik di pangsapuri berkenaan," katanya.

Kata Abdul Rahim, lanjutan daripada penemuan itu, polis telah menyerbu satu unit pangsapuri berlainan di kawasan yang sama dan menahan dua lagi suspek.

Polis kini sedang mengesan saki-baki anggota sindiket berkenaan.

Beliau berkata kesemua suspek datang ke Malaysia secara sah dan kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

syabu, Iran, Abdul Rahim Jaafar

Artikel Berikut

Artikel Lain