suria

BN Sedia Disiasat Jika PAS Tubuh Jawatankuasa Isu Royalti - TPM

Pelantar Minyak Cakerawala di Bachok, Kelantan.
TUMPAT: Tidak mahu berterusan dituduh tidak membayar royalti kepada Kelantan, kerajaan Barisan Nasional (BN) mencabar PAS menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan mereka itu.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tuduhan berterusan  oleh pimpinan PAS terhadap BN mengenai isu royalti adalah fitnah serius, justeru BN sedia disiasat.

"Saya cabar PAS tubuh jawatankuasa khas siasat keadaan sebenar (isu royalti) dari sudut Perlembagaan, akta sedia ada dan prestasi Petronas, dimanakah dalam perakaunannya menyatakan ada RM12 bilion yang tertunggak kepada kerajaan negeri.

"Kita bersikap terbuka dan amalkan ketelusan akaun...boleh siasat akaun kalau mahu," katanya pada sidang media semasa menghadiri proses penamaan calon PRK DUN Pengkalan Kubor di sini, Sabtu.

Muhyiddin berkata, BN pasti isu royalti akan dijadikan isu pokok dalam usaha pembangkang menyerang parti itu dalam PRK Pengkalan Kubor, seperti mana yang dilakukan sebelum ini.

Katanya, fitnah yang sudah lama itu menunjukkan seolah-olah kerajaan Persekutuan tidak telus dalam pentadbirannya.

"Macam kita yang salah selamanya. Kita amalkan sistem perakaunan yang telus tertakluk kepada undang-undang tetapi masih boleh dieksploitasi," katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, isu royalti tidak sepatutnya timbul kerana dari segi undang-undang kerajaan pimpinan PAS di Kelantan tidak mempunyai hak untuk mendapat royalti.

Katanya, sebarang keputusan dari segi pemberian royalti atau bantuan ihsan kepada kerajaan negeri datangnya daripada pertimbangan kerajaan BN.

Tambahnya, jika PAS mendakwa ia sebuah parti berlandaskan Islam, mereka perlu bertindak mengikut landasan Islam dan bukannya membuat fitnah yang merupakan dosa besar.


royalti, Kelantan

Artikel Sebelum

Artikel Lain