suria

Dera Anak Anjing: Remaja Lelaki Perlu Penilaian Psikiatrik

PETALING JAYA: Remaja lelaki  berusia 15 tahun yang dirakam mendera seekor anak anjing kemungkinan mengalami gangguan mental, jelas pakar sakit jiwa, Datuk Dr Andrew Mohanraj Chandrasekaran yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA).

"Jika dia mempunyai sejarah keganasan atau melawan orang yang lebih tua, ia kebiasaannya berkaitan dengan masalah di rumah, tetapi jika tidak ada perasaan kesal membuli, malah gembira dengan apa yang dilakukan seperti dalam video itu, ia mungkin merupakan kes klasik dalam masalah gangguan mental ini," jelasnya kepada The Star.

"Secara umumnya, sesiapa yang mengalami masalah ini mempunyai gangguan dalam kehidupan sosial dan juga pembelajaran," katanya.

Gangguan mental boleh dibawa sehingga ke peringkat dewasa, menjadi seorang yang anti-sosial, dan menderita serta kebiasaannya akan terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan jenayah, kata Dr Mohanraj.

"Saya syorkan agar dia diberi penilaian mental secepat mungkin. Gangguan mental boleh dikawal melalui sesi kaunseling.

"Tetapi jika dibiarkan, satu hari nanti dia akan menjadi seorang yang mempunyai personaliti anti-sosial, dan jika sudah dewasa ia boleh membahayakan kepada masyarakat".

Video seorang remaja lelaki yang menghayun seekor anak anjing tersebar awal minggu ini dan masyarakat meminta pihak berkuasa mengambil tindakan.

Remaja lelaki itu, dikenal pasti seorang pelajar di Negeri Sembilan, ditahan Rabu lalu, dan dilepaskan dengan ikat jamin.

Pihak juga sedang mengenal pasti individu yang bersubahat, termasuk mereka yang merakam video 50 saat itu.

dera anjing

Artikel Berikut