suria

SPR Yakin Pengundian Khamis Tak Jejas Peratusan Mengundi

Aziz bertemu calon BN, Mat Razi (kanan) dan calon PAS, Wan Rosdi di pusat penamaan calon di Tumpat, Sabtu.
TUMPAT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor tidak terjejas walaupun hari mengundi pada Khamis merupakan hari bekerja.


Pengerusi SPR,Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, dijangka lebih 70 peratus pemilih berdaftar akan keluar mengundi pada 25 September ini.

"Pemilihan Khamis kerana kebanyakan penduduk di sini bekerja sebagai petani dan nelayan, manakala hanya sebilangan kecil bekerja makan gaji," katanya dalam sidang media selepas proses penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat di sini, Sabtu.

Hadir sama timbalannya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Sobri Ramli.

Sejumlah 24,039 pemilih berdaftar terdiri daripada 23,929 pemilih biasa, 109 pemilih awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara (PTH) layak mengundi pada PRK itu.

Abdul Aziz berkata, SPR turut melantik kumpulan pemerhati bebas terdiri daripada lapan individu iaitu tiga daripada Majlis Belia Malaysia, Persatuan Naskhah-naskhah Kedaulatan Melayu Malaysia (tiga) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (dua) yang akan mencatat kesalahan dilakukan sepanjang tempoh berkempen.

Selain itu, SPR juga melantik tiga pasukan penguat kuasa yang akan bertindak menurunkan bahan kempen yang tidak dibenarkan dan pasukan ini akan bekerjasama dengan polis serta pihak berkuasa tempatan, katanya.

"SPR turut membelanjakan lebih RM600,000 dan seramai 436 petugas dilantik pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor ini.

"Sebanyak 12 pusat mengundi dengan 45 saluran akan dibuka pada hari pengundian nanti," katanya.

PRK DUN Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PRK DUN itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada BN, akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.


Artikel Lain