suria

CIMB Dan IJN Taja Pembiayaan Pembedahan Jantung Kanak-Kanak Myanmar

Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Bank CIMB, cabang perbankan pengguna Kumpulan CIMB Holdings Bhd mengumumkan kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) dalam menaja pembedahan tujuh kanak-kanak yang mempunyai masalah jantung serius di Yankin Children Hospital, Myanmar.

CIMB dalam satu kenyataan berkata ia memperuntuk US$15,000 (RM47,961) untuk kos pembedahan dan perbelanjaan pasukan perubatan Malaysia.

Pemangku Ketua Eksekutif Kumpulan, Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata CIMB telah mewujudkan perniagaan di Myanmar sejak 20 tahun lalu dan ia berminat untuk memperkukuh hubungannya dengan masyarakat Myanmar menerusi pelbagai aktiviti.

"Kami berbesar hati diberi peluang untuk berkongsi dengan IJN dalam membantu Yankin Children Hospital," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof Datuk Dr Mohd Azhari berkata kerjasama itu menawarkan bantuan lebih besar untuk hospital berkenaan dari segi sumbangan kewangan selain pendidikan perubatan berterusan kepada kakitangan perubatan hospital berkenaan.

"Kami gembira melihat kerjasama kami kepada kanak-kanak ini telah memberi mereka dan keluarga mereka masa depan yang lebih sihat dan cerah," tambahnya.

Kanak-kanak tersebut berumur antara empat hingga 16 tahun telah berjaya melalui pembedahan di hospital berkenaan.

IJN, CIMB

Artikel Lain