suria

Abdul Halim Ismail, Rakyat Malaysia Pertama Terima Anugerah Diraja Kewangan Islam

Abdul Halim Ismail
KUALA LUMPUR: Ahli pengasas Bank Islam pertama negara, Datuk Dr Abdul Halim Ismail menjadi rakyat Malaysia pertama menerima Anugerah Diraja Kewangan Islam, yang mengiktiraf peranan penting beliau dalam mewujudkan struktur organisasi dan prosedur operasi bank berkenaan pada 1983.

Anugerah itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada majlis makan malam sempena Forum Kewangan Islam Global 2014 (GIFF 2014) di sini, malam Selasa.

Anugerah Diraja dua tahun sekali itu, diterajui Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia di bawah inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

Anugerah itu mengiktiraf tokoh berwawasan kewangan Islam yang memberi sumbangan penting kepada pertumbuhan ekonomi global dan perkembangan sosial masyarakat seluruh dunia.

Semasa menerima anugerah berkenaan, Abdul Halim, bekas Pengarah Urusan Bank Islam berkata kewangan Islam amat berkaitan dengan ekonomi sebenar, menawarkan pelaburan beretika dan pilihan pembiayaan untuk perniagaan.

"Prinsip-prinsip kewangan Islam juga menggalakkan keterangkuman dan kerjasama untuk mewujudkan sistem kewangan yang adil dan saksama, yang boleh diakses oleh semua.

"Saya amat berbesar hati untuk menerima Anugerah Diraja ini," kata beliau.

Kepakaran Abdul Halim dalam undang-undang Syariah serta perbankan dan kewangan Islam telah membawa kepada pelantikan beliau dalam pelbagai lembaga pengawal selia Syariah, termasuk Bank Negara, SC dan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan serta institusi kewangan.

Seorang ahli akademi terlatih, beliau adalah Dekan Fakulti Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 1974 hingga 1977.

Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Lembaga Syarikat Takaful Malaysia, syarikat insurans Islam pertama di Malaysia dan pada 1994, beliau membantu menubuhkan syarikat broker saham Islam yang pertama di Malaysia, Sekuriti BIMB.

Di bawah bimbingannya, kedua-dua industri dan institusi kewangan berkembang, menjadikan kewangan Islam alternatif yang semakin menarik dan melengkap kepada kewangan konvensional.

Kelayakan dan pengetahuan luas beliau dalam bidang ekonomi Islam dan perbankan dan kewangan Islam juga telah didokumentasikan secara meluas dalam artikel-artikel yang disiarkan untuk seminar dan persidangan.

Sementara itu, Pengerusi Panel Juri Anugerah Diraja, Tun Musa Hitam berkata, Abdul Halim adalah seorang yang mempunyai wawasan dan telah memainkan peranan penting dalam membangunkan industri perbankan Islam di rantau ini.

Musa berkata, 48 calon telah dicalonkan untuk anugerah itu tahun ini, peningkatan 25 peratus berbanding sejak diperkenalkan pada 2010.

Beliau berkata, kewangan Islam masih berkembang dalam setiap aspek dengan aset global dijangka melonjak kepada US$2.5 trilion menjelang 2015 daripada US$1.6 trilion sekarang ini.

Penerima Anugerah Diraja sebelumnya, ialah Shaikh Sale Abdullah Kamel (2010) dan Iqbal Khan (2012).

Anugerah Diraja pada 2010 turut melibatkan kategori khas, pengiktirafan anumerta kepada Allahyarham Dr Ahmad El-Naggar yang sering dirujuk sebagai 'Bapa Perbankan Islam Moden'.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain