suria

MH17: Kami Mohon Privasi Semasa Pengebumian - Waris

Aizuddin (kanan) didakwa ditumbuk oleh seorang lelaki yang dipercayai waris tragedi MH17 ketika membuat liputan di Pusat Peringatan Nirvana, Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Selasa. - fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Seorang waris kepada tiga mangsa nahas pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang didakwa mengasari seorang jurugambar mendakwa di laman sosial media bahawa keluarganya berulang kali menegaskan kepada media untuk membiarkan mereka bersendirian.

Lelaki tersebut yang menggunakan nama Logan Retnam di Facebook berkata, walaupun berulang kali menyebut 'no media', jurugambar tersebut didakwa tidak mengendahkan permintaan tersebut.

Sebaliknya, dakwa Logan, jurugambar tersebut merakamkan gambar keluarga dan rakan-rakan mangsa.

"Saya tidak faham mengapa media merasakan bahawa kami mahu berkongsi waktu bersendirian dengan mereka. Adakah kami harus berkongsi dengan anda (media) mengenainya.

"Sekiranya insiden itu menimpa orang yang anda sayangi, mungkin anda merasakan kesakitan yang sama dan kemarahan yang kami lalui sekarang," katanya.

Dalam postingnya, Logan membidas MAS dan petugas pusat pengebumian, lokasi insiden tersebut berlaku kerana tidak menghormati permintaan keluarga untuk merahsiakan butiran pengebumian.

"MAS menyiarkan butiran peribadi mengenai rancangan pengebumian sedangkan kami memaklumkan kepada mereka untuk melindungi privasi kami.

"Kemudian, petugas pusat pengebumian membiarkan media untuk membuat liputan walaupun keluarga memohon untuk diberikan privasi," katanya.

Terdahulu, seorang jurugambar telah ditumbuk oleh seorang waris kepada pelakon tempatan, Subashni J Retnam, atau dikenali sebagai Shuba Jaya. 

Insiden berlaku semasa pengebumian suaminya, Paul Goes dan anak perempuan mereka, Kaela Maya.
MH17, tumbuk, jurugambar, waris

Artikel Lain