suria

PPS: Kedegilan Teruskan Aktiviti Bawa Padah

Pasukan Peronda Sukarela yang ditahan oleh anggota polis selepas mengambil bahagian dalam perarakan Hari Kemerdekaan ke-57 dibawa ke Balai Polis Lebuh Pantai pada Ahad.

GEORGE TOWN: Pasukan Peronda Sukarela (PPS) PulauPinang ditubuhkan oleh kerajaan negeri pimpinan DAP pada Mei 2011 dengan tujuan awal untuk membantu pihak berkuasa keselamatan menangani kegiatan atau aktiviti sosial yang negatif di sesuatu kawasan termasuk membersihkan kawasan daripada anasir dadah. 

Pada awal penubuhannya PPS dianggotai 937 orang dengan 46 pasukan dan selepas tiga tahun, bilangan keanggotaan pasukan itu meningkat kepada 9,002 orang dengan 299 pasukan.

Dalam tempoh itu, terdapat beberapa aduan daripada orang ramai yang kurangsenang dengan kehadiran pasukan itu yang dilihat mengambil tugas pasukan keselamatan.

Anggota pasukan itu pernah didakwa mengasari seorang jurugambar pada tahun lepas dan pada 18 Ogos seorang aktivis sosial membuat sidang akhbar mendakwa dipukul anggota PPS pada majlis makan malam di Air Itam di sini.

Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam kenyataan akhbar di Komtar, di sini pada 15 September 2011 berkata PPS ditubuhkan sebagai langkah untuk memastikan kebajikan dan keselamatan masyarakat dan rakyat negeri Pulau Pinang tidak dipinggirkan.

PPS dicadangkan kerajaan negeri pimpinan DAP Pulau Pinang pada 8 April 2009 dan pada 27 April 2011 melalui kertas Mesyuarat MMK Bil 16/2011, penubuhan PPS diluluskan dan disahkan kerajaan negeri pada 4 Mei 2011.

Susulan kelulusan penubuhan PPS oleh kerajaan DAP Pulau Pinang itu, Majlis Pelancaran PPS diadakan pada 17 September 2011 dan setiap anggota diberi sijil pelantikan dan vest.

Anggota PPS diberi kursus dan taklimat seperti rawatan kecemasan, pengurusan kes-kes kecemasan, rawatan patukan/sengatan haiwan berbisa dan penerangan tindakan yang perlu diambil ketika bencana/kecemasan serta kaedah catatan buku log PPS untuk sesuatu kecemasan dan laporan segera mengenainya kepada anggota dewan undangan negeri.

Pasukan itu diletak di bawah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh yang juga pengerusi PPS.

Berikutan aduan aktivis sosial yang mendakwa dipukul anggota PPS itu,masyarakat mula memperkatakan semula mengenai fungsi dan peranan anggota pasukan itu termasuk di laman sosial Twitter yang turut mengaitkan penglibatan PPS dengan gangster.

Dakwaan itu menyebabkan kerajaan DAP Pulau Pinang melalui Phee mengeluarkan kenyataan menafikan terdapat penglibatan gangster dalam PPS sebaliknya menyifatkan pertubuhan itu dijadikan 'kambing hitam' oleh individu tertentu untuk mengkritik dasar kerajaan negeri.

Kemelut PPS tidak berakhir di situ dan pada 26 Ogos Ketua Polis Negara mengeluarkan kenyataan bahawa PPS adalah pasukan yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dan dianggap sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan. 

Bagaimanapun Ketua Menteri Pulau Pinang tetap mempertahankan PPS dengan menyatakan ia adalah sebuah pertubuhan sah seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

Jumaat lepas Ketua Polis Negara menegaskan tindakan menangkap anggota PPS akan dilakukan sekiranya mereka meneruskan aktiviti pertubuhan haram itu.

Kedegilan kerajaan negeri pimpinan DAP dalam mempertahan pasukan itu menyebabkan 154 anggota PPS termasuk tujuh wanita ditahan selepas menyertai perbarisan Hari Kemerdekaan di Padang Kota pada Ahad.  

Kesemua mereka yang lengkap berpakaian seragam ungu itu ditahan kerana didakwa ingkar arahan supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti.

PPS

Artikel Lain