suria

Sukan Bogel: Enam Mengaku Bersalah, Empat Minta Dibicarakan

BALIK PULAU: Enam peserta acara sukan bogel di pantai Teluk Kampi dijatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan denda RM5,000 setiap seorang selepas kesemua mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini.

Mereka adalah Loh Kok Hong, Loh Kok Hong, 41, Mu Wai Peng, 34, Justin Ang Ji Keng, 24, Yam Kam Hoong, 54, Lionel Loo Joo Heng, 52 dan R.Nanda Kumar, 40.

Mereka didakwa kerana melakukan perbuatan lucah di kawasan awam yang menyebabkan gangguan awam di pantai Teluk Kampi di antara pukul 3 petang hingga 6 petang pada 30 Mei lalu.

Sementara itu, empat lagi diminta untuk dibicarakan berhubung dakwaan yang sama.

Mereka ialah Chew Tok Hua, 57, Chan Chia Wen, 27, Teh Guan Hoon, 37 dan Kong Meng Long, 38.

Kesemua didakwa di bawah Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah.

Yam turut dijatuhkan hukuman penjara enam bulan yang berjalan serentak dengan dakwaan pertama, selepas dia didapati bersalah terhadap dakwaan kedua kerana menghasilkan klip video lucah di pantai Teluk Kampi di antara pukul 3 petang hingga 6 petang pada 30 Mei lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Loh diwakili peguam Allen Choong dan T.Suppiah, manakala Jason Khor merupakan peguam kepada Teh.

Mereka yang lain tidak diwakili peguam.

Majistret Mohd Najib Ismail menetapkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjaman bagi mereka yang mengaku tidak bersalah dan menetapkan 16 Oktober untuk sebutan.

Timbalan Pendakwa Raya, Edward Chan melakukan pendakwaan.

sukan bogel, Teluk Kampi

Artikel Lain