suria

Tabung Haji Saran Jemaah Haji Kurang Upaya, Warga Emas Ditemani Waris

KUALA LUMPUR: Mana-mana jemaah haji kurang upaya terutamanya warga emas disaran membawa waris untuk menemani mereka sepanjang berada di Tanah Suci, kata Pengurus Besar Bahagian Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Tabung Haji (TH), Anis Zuhaini Ahmad. 

Katanya, jemaah haji warga emas terutamanya yang mengerjakan haji secara berseorangan sering dilihat menghadapi pelbagai masalah seperti pergerakan terbatas dan masalah kesihatan. 

"Dari segi menjaga kebajikan golongan warga emas dan kurang upaya memang kita ada memberi perkhidmatan secara 'satu per satu' apabila berada di sana (Tanah Suci) iaitu setiap petugas dengan seorang jemaah haji sekiranya memerlukan bantuan. 

"Namun mereka (golongan kurang upaya dan warga emas) disarankan untuk mengerjakan haji dengan ditemani oleh ahli keluarga supaya memudahkan pergerakan dan penjagaan kesihatan mereka lebih terjamin," katanya ketika menjadi tetamu Program Ruang Bicara 'POS Malaysia, Tabung Haji Rentasi Sempadan' kendalian Dahlan Mahmood terbitan Bernama TV di sini, Rabu. 

Turut menjadi tetamu khas rancangan itu ialah Ketua Pegawai Operasi Pos Malaysia Ahmad Najmi Mahfodz. 

Anis Zuhaini berkata setiap tahun, kira-kira 600 petugas Tabung Haji terdiri daripada 250 petugas perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan selebihnya petugas kebajikan dihantar ke Tanah Suci untuk membantu jemaah haji. 

"Walaupun pelbagai cabaran terpaksa dihadapi oleh petugas-petugas Tabung Haji untuk menjaga kebajikan setiap anggota jemaah haji dari Malaysia namun dari segi golongan kurang upaya dan warga emas, memang keutamaan itu akan diberikan kepada mereka," katanya. 

Beliau berkata selain perkhidmatan kebajikan jemaah haji, pihaknya juga turut menyediakan perkhidmatan kaunseling secara bersemuka di kaunter yang ada di setiap maktab jemaah haji Malaysia. 

"Sekiranya malu untuk bersemuka, kami juga turut menyediakan kaunseling menerusi telefon yang baharu sahaja diperkenalkan untuk menyelesaikan apa-apa masalah yang dihadapi oleh para jemaah haji termasuk masalah peribadi yang melibatkan emosi," katanya. 

Sementara itu, Ahmad Najmi berkata pihaknya diberi lesen oleh TH untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan jemaah haji dari Tanah Suci ke Malaysia seperti bagasi dan barang-barang peribadi. 

"Kira-kira 30 petugas kami akan dihantar ke Tanah Suci untuk menguruskan perkhidmatan ini bagi meringankan beban para jemaah haji yang mungkin akan mengangkut lebih banyak barangan pulang ke tanah air selepas mengerjakan haji. 

"Selain perkhidmatan penghantaran bagasi, kami juga turut menyediakan penghantaran air Zam-Zam dengan harga yang berpatutan," katanya. 

Katanya orang ramai yang ingin mengetahui tentang perkhidmatan penghantaran bagasi dari Tanah Suci boleh melayari laman web Pos Malaysia iaitu http:www.pos.com.my atau hubungi PosLine 1300-300-300 untuk maklumat lanjut. 

Tabung Haji, warga emas, kurang upaya

Artikel Lain