suria

Krisis MB Selangor: PAS Akan Hantar Tiga Nama Adun PKR

Mustafa Ali
SHAH ALAM: PAS tidak akan mencalonkan mana-mana wakil rakyatnya untuk jawatan menteri besar Selangor sebaliknya akan mencalonkan tiga nama wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

"Keputusan untuk tidak menamakan mana-mana wakil rakyat PAS (untuk jawatan MB) adalah muktamad. Ini kerana jawatan itu telah dikhaskan untuk PKR. Kami menghormati perkara ini. 

"Jadi kami rasa adalah tidak sesuai untuk kami mencalonkan wakil rakyat kami," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat tertutup dengan pemimpin-pemimpin PAS negeri di ibu pejabat parti itu di sini, malam Rabu.

Turut hadir ahli jawatankuasa PAS Pusat dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Pesuruhjaya PAS Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chempaka Iskandar Abdul Samad dan Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman, yang juga Adun Paya Jaras.

Ditanya bila PAS akan mengemukakan nama-nama tersebut ke Istana Selangor, Mustafa berkata ia akan dilakukan sebelum Rabu depan.

"Kita tidak boleh mendedahkan nama-nama itu lagi...tunggu pengumuman," katanya.

Sultan telah memberikan PAS, DAP dan PKR sehingga 3 September ini untuk mengemukakan lebih banyak nama untuk jawatan menteri besar.

Dalam surat daripada istana yang dikeluarkan pada Rabu, parti-parti komponen Pakatan telah diarahkan untuk mengemukakan lebih banyak nama calon menteri besar sehingga 3 September, walaupun PKR dan DAP bertegas hanya akan menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Mustafa Ali, krisis MB SElangor

Artikel Lain