suria

Adun PAS Sokong Wan Azizah Demi Perpaduan PR

Hasnul (kiri) dan Saari telah menyatakan sokongan kepada Wan Azizah sebagai calon menteri besar selangor yang baharu bagi menggantikan Khalid. (gambar fail).
PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Saari Sungib menegaskan, tindakan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor untuk menjaga perpaduan dikalangan parti komponen Pakatan Rakyat (PR).


Malahan, katanya, langkah itu juga tidak bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulama PAS. 

"Ingin saya jelaskan, keputusan yang saya buat sebelum ini adalah untuk menjaga 'kemaslahatan' Pakatan Rakyat agar tidak berpecah. Keutamaan saya dan Hasnul Baharuddin (Adun Morib) untuk menyelamatkan Selangor. Lagipun, Tan Sri Khalid Ibrahim sudah tidak memiliki sokongan majoriti. 

"Apa yang sepatutnya dilakukan adalah meletakkan jawatan berbanding memecat anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Saari berkata, siapa juga calon yang dipilih daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), sama ada Wan Azizah atau Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali, beliau akan terima dengan hati terbuka.  

"Tidak timbul isu menentang keputusan Majlis Syura Ulama atau baiah, ini  kerana sokongan yang diberikan adalah demi menyelamatkan PR. 

"Kita mahu menteri besar yang baharu nanti dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dengan PAS, DAP dan PKR dalam barisan Exco yang baharu nanti," katanya. 

Ditanya sama ada beliau telah menerima surat tunjuk sebab daripada Jawatankuasa Disiplin PAS, Saari berkata, sehingga kini, beliau belum menerima sebarang panggilan mahupun surat daripada parti yang diwakilinya. 

"Setakat ini memang tiada siapa yang menghubungi saya supaya hadir untuk memberi kenyataan atau penjelasan. Jika dipanggil saya tidak ada masalah untuk berbuat demikian," katanya. 

Sebelum ini, Saari dan Hasnul telah menyatakan sokongan mereka kepada Wan Azizah supaya dilantik sebagai menteri besar Selangor untuk menggantikan Khalid. 

Bagaimanapun tindakan tersebut mendapat kecaman beberapa pihak termasuk PAS Wilayah Persekutuan yang mendesak agar kedua-dua wakil rakyat PAS itu dikenakan tindakan disiplin kerana mengambil tindakan bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulama PAS dalam isu calon menteri besar Selangor itu.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad dilaporkan berkata, tindakan tersebut bertentangan dengan fasal 82 Perlembagaan PAS kerana ia telah merosakkan tarbiyah dalam PAS yang merupakan tonggak perjuangan parti itu. 

PR, Saari Sungib, Hasnul Baharuddin

Artikel Lain