suria

Rayer Mengaku Tidak Bersalah Atas Dua Tuduhan Menghasut

Rayer (tengah) ketika diiringi di mahkamah.

GEORGE TOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, R.S.N. Rayer mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut di Mahkamah Sesyen di sini.

Tuduhan pertama berhubung kenyataan provokasinya yang dikeluarkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei lalu.

Kesalahan itu jika disabitkan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, membawa kepada hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda RM5,000, atau kedua-duanya sekali.

Rayer, 42, turut mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan kedua di hadapan Hakim, Zaharah Hussain mengenai kenyataan yang dikeluarkan semasa ceramah di taman permainan di Jalan Delima, Island Glades di sini pada 22 Mei lalu.

Bagi dakwaan kedua, Rayer turut berhadapan sabitan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menimbulkan provokasi, yang membawa kepada hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Adun DAP itu tiba di kompleks mahkamah pada kira-kira pukul 9 pagi Rabu, ditemani oleh peguam, Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan S. Raveentharan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani.

Kenyataan itu yang didakwa dikeluarkan oleh Rayer semasa persidangan DUN pada 20 Mei lalu mencetuskan kekecohan.

R.S.N. Rayer

Artikel Lain