suria

Isu MB: PAS Nafi Tawar Azmin Bentuk Kerajaan Bersama Umno

Abdul Hadi Awang.

SHAH ALAM: Presiden PAS menafikan dakwaan beliau menawarkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali untuk menyertai parti itu bagi membentuk kerajaan bersama Umno di Selangor seperti yang didakwa sebuah portal berita.

Penafian itu dikeluarkan oleh Setiausaha Politik Abdul Hadi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berikutan dakwaan ahli jawatankuasa PAS Pusat yang disiarkan dalam sebuah portal berita,  The Malaysian Insider (TMI) pada Selasa.

Jelasnya, dalam pertemuan antara Abdul Hadi dengan Azmin baru-baru ini yang turut dihadirinya, presiden parti itu tidak membuat sebarang tawaran seperti yang tertera dalam dakwaan berniat jahat dan tidak benar itu.

Menurut Dr Ahmad Samsuri, intipati perbincangan semasa pertemuan Azmin dan Abdul Hadi menjurus kepada penghargaan oleh timbalan presiden PKR terbabit terhadap PAS kerana menamakannya sebagai seorang lagi calon untuk jawatan Menteri Besar pada 17 Ogos lalu.

Malah beliau berkata, Azmin turut meminta nasihat dan pandangan secara umum sebagai panduan untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

"Tidak disebut langsung mengenai kerajaan perpaduan bersama Umno seperti yang didakwa. Kami amat kesal dengan fitnah yang sengaja diwujudkan untuk mengelirukan rakyat," katanya.

Justeru, Dr Ahmad Samsuri mendesak TMI supaya meminta maaf secara terbuka dan bertanggungjawab menyebarkan fitnah tersebut.

TMI bagaimanapun tetap mempertahankan laporan yang disiarkan itu.

Terdahulu, portal itu dalam laporannya menyebut Abdul Hadi didakwa mengaku menawarkan jawatan menteri besar kepada Azmin untuk membolehkan kerjasama dibuat dengan Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) PAS, Umno dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membentuk kerajaan di negeri berkenaan.

Bagaimanapun, Azmin didakwa telah menolak tawaran tersebut.

PAS, PKR, Azmin Ali, Abdul Hadi Awang, Umno

Artikel Lain