suria

Pengalaman Abdullah Memulih Minda & Jiwa Komunis

LEFTENAN Jeneral (B) Datuk Abdullah Samsudin membayangkan bagaimana keadaan komunis yang bertahun-tahun lamanya terperuk di perut hutan tebal, tetapi akhirnya keluar mengangkat tangan, meletak senjata dan menyerah diri untuk kembali ke pangkuan keluarga.

Mengimbau kenangan itu, beliau berkongsi kisah tersebut bersama mStar dengan permulaan dihantar ke Bumi Kenyalang untuk menyertai Operasi Sri Aman pada 1973.

Kemudian, pada tahun 1974 hingga 1976, beliau dilantik menjadi salah seorang daripada ahli Jawatankuasa Pemulihan Sri Aman oleh Kerajaan Negeri Sarawak untuk memastikan mereka yang menyerah diri benar-benar dapat dikembalikan ke pangkuan masyarakat dengan selamat.

"Operasi ini merupakan Gerakan Kerajaan untuk membanteras komunis di Sarawak setelah mereka bersetuju untuk meletakkan senjata dan kembali ke pangkuan masyarakat.

"Sehingga tamat operasi, seramai 482 orang komunis yang terdiri daripada lelaki dan perempuan telah keluar menyerah diri kepada pihak berkuasa negeri Sarawak," beliau memulakan bicara ketika ditemuramah mStar Online.

Abdullah, 83, yang telah berkhidmat selama 33 tahun dengan pasukan tentera darat berkata, operasi dan pengalaman menjadi ahli jawatankuasa itu amat bermakna dalam kamus hidupnya kerana itulah pertama kali beliau berpeluang bersemuka dengan mereka yang bergelar komunis.

Kumpulan komunis terbabit digerakkan oleh Partai Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) yang diketuai Bong Kee Chok.

"Pertama kali...dalam keadaan mereka masih hidup. Peluang yang orang lain tak dapat peluang.

"Sebelum itu saya cuma pernah tengok komunis-komunis yang sudah mati kena tembak sahaja," katanya yang terdahulu banyak terlibat dalam operasi serang hendap komunis.



Bong Kee Chok (duduk, kanan) menandatangani perjanjian keamanan bersama Ketua Menteri Sarawak Abdul Rahman Yaakub (duduk, kiri).

Anak kelahiran Butterwoth, Pulau Pinang ini berkata, amarahnya terhadap golongan komunis membuak-buak sewaktu kali pertama melihat mereka menonjolkan diri.

Namun sebagai tentera beliau tetap mempunyai naluri seperti insan biasa.

Ketika seorang demi seorang tampil menyerah diri, beliau ternyata tidak dapat menolak rasa simpati walaupun golongan yang berada di depan matanya adalah golongan yang selama ini dianggap sebagai musuh dan ancaman kepada negara.

"Rasa campur-campur. Takut sudah tak ada.

"Mula-mula rasa marah, tapi bila jumpa dan dengar cerita mereka yang kebanyakannya kena tipu atau terpengaruh, rasa simpati pula wujud," katanya.

Beliau menekup mukanya beberapa ketika, benar-benar mengimbas, apabila ditanya bagaimana keadaan atau rupa paras komunis yang sebelum itu menjadi penghuni hutan tebal.

"Pakaian mereka buruk-buruk, berjahit, bertampung-tampung...memang tak eloklah.

"Kesihatan mereka memang tak sempurna, ada macam-macam penyakit," katanya sambil menambah komunis yang menyerah diri turut diberikan rawatan dan tempat tinggal.

Katanya, tempoh masa yang diberi untuk komunis keluar menyerah diri selama hampir sebulan dan mereka keluar secara berperingkat.

Ini kerana mereka tinggal di lokasi berasingan dan sedikit masa diambil untuk pemimpin komunis berhubung dengan anggotanya yang mahu keluar menyerah diri.

"Kita sediakan tempat untuk mereka serah diri dan dihalang untuk menembak.

"Lebih kurang macam gencatan senjatalah," beliau bercerita.


Memulihkan Komunis

SELESAI operasi, komunis yang masih dianggap sebagai tahanan tidak terus dihantar kepada keluarga masing-masing sebaliknya 'dipulihkan' terlebih dahulu dari segi mental dan fizikal.

Pada peringkat yang dipanggil 'tempoh peralihan', ketika itulah Abdullah sebagai salah seorang daripada ahli jawatankuasa memainkan peranannya.

Katanya, beliau dan ahli-ahli jawatankuasa lain ditugaskan merangka dan menyediakan program-program khas untuk komunis yang telah menyerah diri dengan kos ditanggung oleh Kementerian Dalam Negeri.


RUMAH SRI AMAN: Di banglo inilah memorandum persefahaman ditandatangani  pada 1973.

Kali ini beliau menegaskan bahawa ia adalah satu tugas sukar dan mencabar.

"Mereka dibawa keluar dan diberi makan 'Chinese food' (makanan Cina), diberi tengok gambar-gambar dan dibawa berjalan-jalan.

"Kita perlu alihkan pemikiran mereka bahawa apa yang pemimpin mereka cerita sebelum ini adalah bohong," katanya.

Beliau berkata, perkara pertama yang disoal kepada mereka ialah 'sebab mereka masuk dan tinggal di dalam hutan'.

Tambahnya, masalah utama dalam proses pemulihan tersebut ialah melarang bekas komunis itu membaca bahan bacaan yang dikeluarkan oleh gerakan itu.

"Jawapan daripada setiap seorang tak sama. Masing-masing ada sebab dan jawapan tertentu.

"Yang pasti mereka sangat percaya kepada pemimpin yang telah menipu mereka. Pemimpin mereka kata kalau serah diri mereka akan dipenjara dan dibunuh. Pemimpin mereka sendiri yang takut-takutkan mereka," katanya.

Dari segi bahasa pula tidak banyak masalah yang timbul kerana khidmat jurubahasa digunakan untuk memastikan mereka benar- benar faham penerangan yang diberikan dan dapat berdialog.

"Komunis memenangi hati orang lain dengan percakapan, jadi kita pun kena bercakap dengan mereka supaya mereka faham dan memenangi hati mereka," katanya sambil menambah kebanyakan daripada komunis pada masa itu masih boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Namun, apa yang membuatkan beliau berasa bangga apabila selepas tiga tahun, hampir semua anggota komunis yang terlibat dalam program pemulihan berjaya dikembalikan ke pangkuan masyarakat.

Sebagai seorang yang berpengalaman, beliau menasihatkan generasi masa kini supaya membuat pertimbangan sewajarnya dalam membuat sesuatu keputusan, khususnya yang melibatkan negara.

Katanya, masyarakat masa kini perlu menoleh ke belakang, melihat kembali asal-usul dan perjuangan mereka yang sanggup bergadai nyawa demi mewujudkan sebuah negara yang bebas dan aman.

Artikel Lain