suria

Harimau Dahan Sunda Betina Dipasang Kolar Satelit

Pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD) Meg Harris (kiri) bersama petugas Jabatan Hidupan Liar Sabah memasang kolar satelit di leher seekor Harimau Sunda selepas memasuki perangkap yang dipasang berhampiran Sungai Kinabatangan pada 15 Ogos lepas. -fotoBERNAMA
KINABATANGAN: Buat julung kalinya, seekor harimau dahan Sunda betina berjaya ditangkap dan dipasang dengan kolar satelit, sebagai sebahagian daripada projek kerjasama antara Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD), Unit Penyelidikan Konservasi Hidupan Liar (WildCRU) dan Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC).

Projek itu, yang memberi tumpuan kepada penyelidikan dan konservasi harimau dahan Sunda dan karnivor lain di Sabah, sebahagian besarnya dibiayai Yayasan Sime Darby, dengan pembiayaan dan sokongan tambahan disediakan oleh Zoo Atlanta, Zoo Houston, Yayasan Recanati-kaplan, Yayasan Robertson, Zoo Point Defiance, Projek Harimau Dahan dan Yayasan Rufford.

Andrew Hearn daripada WildCRU dan pelajar PhD di Oxford University berkata pada awal pagi 15 Ogos, seekor harimau dahan Sunda betina seberat 9.9kg, ditangkap dalam satu daripada perangkap yang dipasang di sepanjang Sungai Kinabatangan, dalam persekitaran DGFC.

"Ini merupakan harimau dahan liar keempat yang kami pasangkan kolar, dan buat pertama kalinya seekor betina.

"Selepas lebih setahun memasang perangkap saban hari, kejayaan menangkap harimau betina yang sihat ini dan kami namakan Rahsia, adalah kejayaan sebenar bagi projek kami, dan kami berharap data yang diperoleh daripada kolar yang dipasang padanya akan memberi gambaran penting terhadap pergerakannya yang dapat memajukan lagi tindakan konservasi bagi spesies ini.

"Apa yang menakjubkan, beberapa hari sebelum itu, kami menangkap seekor lagi harimau betina, yang pernah kami tangkap pada September 2013, tetapi haiwan ini terlalu kecil untuk dipasang kolar," kata beliau menerusi kenyataan bersama SWD, DGFC dan WildCRU hari ini.

Pengarah DGFC Dr Benoit Goossens berkata pemasangan kolar pada harimau betina itu adalah sebahagian daripada program pengesanan satelit intensif untuk mengkaji ekologi spatial dan kaitan habitat dengan harimau dahan Sunda serta karnivor simpatrik lain dalam landskap di kawasan Lower Kinabatangan.

"Penyelidikan kami berperanan penting dalam konservasi dan pengurusan harimau dahan Sunda.

"Justeru, memahami bagaimana hidupan liar menggunakan landskap yang sentiasa berubah ini mudah-mudahan akan membantu kita mengurangkan kadar ancaman yang dibawa oleh perubahan ini," kata Goossens.
Harimau Dahan Sunda

Artikel Sebelum

Artikel Lain