suria

Kebanyakan Masjid Adakan Solat Jenazah Ghaib

Y Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama pemimpin dan pegawai kanan kerajaan negeri Johor mengadakan tahlil sebelum menunaikan solat Jumaat dan sembahyang jenazah untuk salah seorang mangsa tragedi MH17, Mohd Ali Md Salim di Masjid Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh di sini, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kebanyakan masjid di seluruh negara hari ini mengadakan solat jenazah ghaib sempena istiadat penghormatan jenazah tragedi pesawat MH17.

Di PUTRAJAYA Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama kira-kira 5,000 jemaah menunaikan solat jenazah ghaib selepas solat Jumaat.

Selesai solat jenazah ghaib, Tuanku Abdul Halim berkenan berangkat ke bacaan tahlil yang diketuai Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Di JOHOR, kira-kira 200 jemaah mengadakan solat jenazah ghaib di Masjid At-Taqwa, Taman Pelangi, Johor Baharu selepas solat Jumaat.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta seluruh masjid untuk mengadakan solat jenazah ghaib serentak dengan solat jenazah hadir yang diadakan khusus untuk menerima jenazah mangsa MH17 sebelum dikebumikan.

Pesawat khas Malaysia Airlines yang membawa 20 jenazah rakyat Malaysia mangsa tragedi MH17, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang pukul 9.54 pagi ini.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam pukul 9.40 malam tadi untuk penerbangan selama 12 jam ke Kuala Lumpur, membawa kumpulan pertama jenazah dalam 17 keranda dan tiga dalam kendi berisi abu mayat.
MH17, MAS

Artikel Lain