suria

Empat Jenazah Selamat Tiba Di Pusat Peringatan Nirvana Sungai Besi

Sebuah kenderaan khas membawa mayat mangsa tragedi MH!7 tiba di Nirvana Memorial Centre, Jalan Sungai Besi di sini untuk upacara keagamaan hari ini. - Foto BERNAMA.
KUALA LUMPUR: Empat jenazah mangsa nahas tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 selamat tiba di Pusat Peringatan Nirvana di Sungai Besi, pada pukul 12.50 tengah hari.

Ketibaan kesemua jenazah berkenaan diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr J. Loga Bala Mohan di perkarangan pusat peringatan berkenaan.

Empat jenazah berkenaan ialah Foo Ming Lee, Ng Qing Zheng dan pasangan suami isteri, Paul Rajasingam Sivagnanam dan Mabel Anthony Samy.

Pihak Nirvana memaklumkan bahawa mendiang Foo akan melalui upacara keagamaan selama dua hari bermula hari ini di pusat peringatan berkenaan sebelum upacara pembakaran mayat dilaksanakan di Taman Peringatan Nirvana Shah Alam pada Ahad.

Sementara itu, mendiang Ng akan disimpan semalaman di pusat peringatan berkenaan sebelum dihantar ke kediamannya di Kota Kemuning, esok.
 
Dalam pada itu, jenazah pasangan suami isteri tersebut, masih menanti pengesahan daripada anggota keluarga dan waris untuk tindakan selanjutnya.

Pesawat khas Malaysia Airlines yang membawa 20 jenazah rakyat Malaysia mangsa tragedi MH17, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang pukul 9.54 pagi ini.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam pukul 9.40 malam tadi untuk penerbangan selama 12 jam ke Kuala Lumpur, membawa kumpulan pertama jenazah dalam 17 keranda dan tiga dalam kendi berisi abu mayat.
MH17, MAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain