suria

PKR Sedia Rampas Kerusi DUN Pengkalan Kubor - Azmin

Azmin Ali
SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedia untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pada pilihan raya kecil kawasan itu nanti.

Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali berkata, kerusi DUN Pengkalan Kubor secara tradisinya akan ditandingi PKR.

"Saya telah pun memaklumkan perkara ini kepada Presiden PAS dalam pertemuan saya dengan beliau semalam (Khamis).

"Kita akan mengadakan perbincangan secara khusus selepas selesai kongres ini untuk melihat persiapan PRK," katanya kepada pemberita di Kongres Nasional AMK ke-10 di sini, Jumaat.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong selepas penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia akibat kanser pada Rabu lalu.

Noor Zahidi yang juga Ketua Umno Bahagian tumpat mempertahankan kerusi DUN Pangkalan Kubor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu dengan majoriti 1,736 undi.

Beliau yang memperoleh 10,174 undi menewaskan dua lagi lawannya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saharun Ibrahim yang mendapat 8,438 undi serta seorang calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary yang hanya mendapat 65 undi.

Mengulas mengenai peluang PKR untuk menang di kerusi itu Azmin berkata, rekod pentadbiran kerajaan Kelantan di bawah PAS merupakan kelebihan kepada parti itu.

"Saya percaya dengan rekod dan prestasi kerajaan negeri Kelantan, kita boleh mengambil semula kerusi Pengkalan Kubor di Parlimen Tumpat.

"Kerana disitu Parlimen Tumpat di wakili oleh PAS dan ada dua DUN yang lain dimenangi oleh PAS. Jadi saya tidak nampak ada halangan yang besar untuk Pakatan Rakyat mengambil semula kerusi Pengkalan Kubor," katanya.

Ditanya kemungkinan PKR akan memberikan kerusi DUN Pengkalan Kubor kepada PAS, Azmin berkata: "Belum ada perbincangan, semalam pertemuan dengan Presiden PAS saya maklumkan secara ringkas dan kita akan menyusul dengan perbincangan minggu depan.

"Ada perbincangan..cuma secara ringkas."


DUN Pengkalan Kubor, PRK

Artikel Sebelum

Artikel Lain