suria

Kongres PKR: Krisis 'Peluang Terbaik' Bergerak Ke Hadapan - Azmin

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu melihat krisis yang dihadapi parti itu sebagai 'peluang baik'  untuk menghadapi cabaran yang lebih besar.

Tanpa menyentuh secara khusus mengenai kemelut politik di Selangor, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, krisis yang berlaku seharusnya dilihat dari sudut positif.

"Dalam keadaan biasa, kita sering melihat krisis sebagai satu masalah, sebagai satu kelemahan. Saya mencabar diri saya sendiri dan pimpinan supaya melihat ini (krisis) dalam konteks yang lebih positif.

"Sebab itu saya melihat ia sebagai satu peluang. Kita boleh memperbaiki dan bergerak ke hadapan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) ke-10 di sini, Jumaat.

Terdahulu ketika menyampaikan ucapannya, Azmin menyentuh secara umum mengenai krisis yang dihadapi PKR sebagai pengukur kesetiaan anggotanya terhadap parti.

"Krisis boleh menjadi peluang untuk kita melakukan muhasabah, menilai kekuatan mental dan spiritual anggota parti, menguji kesetiaan pimpinan dan anggota terhadap kepatuhan kepada prinsip dan semangat setiakawan serta penapisan untuk menjamin kualiti anggota parti.

"Kita perlu belajar daripada krisis. Iktibar daripada krisis akan menjadikan kita lebih kuat untuk mengurus krisis di masa hadapan," katanya.

Tambah beliau, PKR akan menjadi lebih kuat sekiranya bijak menguruskan krisis, termasuk ketika membuat keputusan.

"Biarpun ada kalanya kita salah membuat keputusan, pokoknya kita belajar daripada keputusan yang salah itu," katanya.


PKR, Azmin Ali, Kongres AMK

Artikel Lain