suria

Dua Puluh Kenderaan Jenazah Melintas Lalu Dihadapan Yang Di-Pertuan Agong

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah berkenan memberi penghormatan terakhir pada Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi Pesawat MH17 di Kompleks Bunga Raya pada Jumaat. Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abd Rahman serta barisan menteri kabinet. -Foto BERNAMA.
KUALA LUMPUR: Dua puluh kenderaan yang membawa jenazah mangsa tragedi MH17 melintas lalu di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Lapangan Terbang Antarabangsa KL, sejurus selepas negara bertafakur seminit pada pukul 10.54 pagi untuk menghormati kumpulan pertama jenazah warga Malaysia yang dibawa pulang hari ini.

Kenderaan jenazah membawa haluan berasingan dengan 13 daripadanya menuju ke beberapa tanah perkuburan mengikut permintaan waris dan keluarga mangsa.

Pesawat angkatan tentera C130 menerbangkan dua jenazah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan tiga lagi ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh, sementara helikopter EC724 menerbangkan jenazah dua lagi mangsa ke Pagoh dan Segamat, Johor. 

Pesawat khas Malaysia Airlines yang membawa 20 jenazah mangsa nahas MH17 itu mendarat di KLIA pada pukul 9.54 pagi ini selepas 12 jam perjalanan dari Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam.

Sejumlah 43 warga Malaysia terbunuh apabila MH17 ditembak jatuh di timur Ukaine pada 17 Julai.
MH17, MAS

Artikel Lain