suria

Jabatan Peguam Negara, Wisma Putra Kaji Cari Keadilan MH17 - Hishammuddin

Hishammuddin Tun Hussein.

TAPAH: Jabatan Peguam Negara dan Wisma Putra sedang meneliti aspek perundangan untuk mendapatkan keadilan buat keluarga mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh MH17 akan dibawa ke muka pengadilan.

"Peguam Negara sedang meneliti perkara itu secara mendalam dan Wisma Putra mengkajinya dari aspek antarabangsa.

"Kita tidak akan duduk diam dan kita akan mendapatkan keadilan buat kesemua mereka yang menaiki MH17," katanya.

"Tidak kira mahkamah mana kita akan pergi, sama ada di Malaysia, Ukraine atau di Mahkamah Keadilan Antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Umno bahagian Tapah di Dewan Merdeka di sini, Ahad.

Beliau menambah, keutamaan pada masa ini adalah mendapatkan mayat-mayat mangsa nahas untuk dibawa pulang ke Malaysia dengan selamat.

Hishammuddin turut memberi jaminan kepada keluarga mangsa nahas MH370 bahawa operasi mencari pesawat itu tidak dilupakan.

"Walaupun tumpuan kita pada masa ini adalah MH17, operasi mencari (MH370) masih berjalan. Kita bekerjasama rapat dengan Kerajaan China dan Australia," katanya.

Hishammuddin Tun Hussein, MH370, MH17

Artikel Lain