suria

Lebih 50 NGO Buat Laporan Polis Desak Tindakan Ke Atas N Surendran

Surendran
KUALA LUMPUR: Lebih 50 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), termasuk Umno bahagian di beberapa negeri membuat laporan polis, Ahad bagi mendesak tindakan undang-undang diambil ke atas Anggota Parlimen Padang Serai, N Surendran berhubung kenyataannya yang disifatkan menghina sistem perundangan negara.

Di ALOR SETAR, 50 NGO dan beberapa Umno bahagian membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Kota Setar.

Pengerusi Persatuan Sahabat Perdana Menteri Negeri Kedah, Datuk Ghazali Ibrahim berkata, semua pihak mendesak agar tindakan tegas diambil terhadap Surendran yang dilihat bertujuan menghasut orang ramai.

"Kita lihat tayangan video itu cenderung untuk menghasut orang ramai agar meragui sistem kehakiman di negara ini serta membuat tuduhan tidak berasas terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya selepas membuat laporan polis.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata, pihak berkuasa perlu menyiasat kes itu dengan teliti dan mengambil tindakan tegas terhadap Surendran yang dianggap melampau kerana sering mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan dan tidak berasas.

Di SUNGAI PETANI, enam laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda, Ahad bagi mendesak agar tindakan serupa diambil ke atas Surendran.

Antara yang tampil membuat laporan polis termasuklah Pemuda Umno negeri Kedah, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Kuala Muda, Umno Bahagian Merbok, dan Belia 4B Merbok.

Ketua Pemuda Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Pemuda Umno Kedah menyifatkan kenyataan yang dibuat menerusi video di laman sosial YouTube sebagai satu penghinaan secara nyata terhadap mahkamah.

Katanya, justeru mereka menggesa tindakan segera diambil agar Surendran dibawa ke muka pengadilan, katanya kepada pemberita.

Shaiful Hazizy berkata, Pemuda Umno Kedah turut mempertikai sikap berat sebelah yang dimainkan pembangkang yang mana memuji sistem kehakiman dan perundangan sekiranya keadaan berpihak kepada mereka.

Di JASIN, Ketua Umno bahagian Jasin, Datuk Ahmad Hamzah menggesa polis menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas terhadap Surendran kerana dengan sengaja menghina institusi kehakiman negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat satu laporan polis berhubung isu berkenaan di Balai Polis Merlimau.

Laporan polis yang dibuat kira-kira 10.30 pagi tadi turut disertai beberapa kepimpinan Umno Jasin termasuk anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Datuk Hasan Abdul Rahman dan Adun Merlimau Roslan Ahmad.


Artikel Lain