suria

Kerusi Naib Presiden: Wanita Umno Perlu Dapat Suara Akar Umbi - Hishammuddin

Hishammuddin Hussein
KUALA LUMPUR: Biro Perlembagaan dan Perundangan Umno sedia membantu Pergerakan Wanita Umno yang mahu perlembagaan parti dipinda bagi memperuntukkan satu kerusi tambahan jawatan Naib Presiden dikhaskan untuk Wanita.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bagaimanapun sayap parti itu terlebih dahulu perlu mendapatkan suara anggota daripada peringkat akar umbi kerana ia melibatkan pindaan perlembagaan parti supaya tidak dipolemikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Penting untuk Pergerakan Wanita mendapatkan suara daripada akar umbi. Saya akan bantu, bagi saya tidak ada masalah kerana kita (Umno) tidak pernah meletakkan Wanita Umno kepada satu situasi di mana kita tidak menghargai pengorbanan Pergerakan Wanita.

"Kita tahu mereka sentiasa setia dan bertungkus-lumus khususnya dalam konteks pilihan raya. Sebab itu Umno telah iktiraf Wanita Umno ini sebagai tulang belakang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Titiwangsa di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya kepimpinan tertinggi Umno mempertimbangkan satu kerusi tambahan bagi jawatan Naib Presiden Umno diberikan kepada anggota sayap itu.

Shahrizat berkata, perlembagaan parti boleh dipinda untuk mewujudkan satu jawatan naib presiden khas bagi Wanita supaya jawatan Naib Presiden Umno menjadi tiga campur satu.

Hishammuddin yang juga Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundangan Umno berkata, Pergerakan Wanita Umno tidak perlu bimbang dengan pendiriannya terhadap cadangan Shahrizat itu.

"Wanita tidak pernah dipinggirkan...Biro Perlembagaan dan Perundangan Umno selain turun padang mendengar maklum balas daripada ahli kita berhubung Akta Hasutan, saya juga akan mengambil kesempatan mendengar suara akar umbi berhubung kait dengan permintaan daripada Wanita Umno ini yang kemudiannya kita bincang di biro dan akan maklumkan kepada Pergerakan Wanita," katanya.

Naib Presiden, Wanita Umno

Artikel Lain